Isnin, 20 April 2009

BULAN RABI`UL AKHIR

http://farm4.static.flickr.com/3396/3262454383_e5169d3970.jpg

Pengertian

Rabi`ul akhir bermaksud musim bunga yang akhir. Bulan ini merupakan peringkat akhir bagi tanaman-tanaman berbunga.

Pada waktu itu biasanya tanaman-tanaman di Tanah Arab akan mengalami peringkat akhir berbunga sebelum musim sejuk tiba. Selain dari Rabi`ul Akhir, bulan ini juga dipanggil dengan nama Rabi`ul Thani yang membawa pengertian yang sama.

Perlu diketahui bahawa itu adalah gelaran nama bagi satu-satu bulan yang pada asalnya nama itu sudah wujud sebelum kedatangan Rasulullah SAW lagi dan setelah Rasulullah mendapati nama-nama bulan itu tidak memberi makna yang buruk maka Rasulullah SAW mengekalkannya. Maka sebenarnya nama Rabi`ul Akhir itu sendiri tidak ada perkaitan dengan ketetapan musim bunga atau buah kepada tanaman.

Cuaca, iklim, suhu, dan musim adalah berkait rapat dengan peredaran matahari dan bintang-bintang lain sedangkan taqwim Islam Qamari adalah berlandaskan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.

Kesimpulannya, Rabi`ul Akhir yang bermakna musim bunga yang akhir tidak dapat dikaitkan dengan musim bunga sebenarnya, ia hanya sekadar nama bagi bulan itu sendiri.

Peristiwa Sewaktu di Bulan Rabi`ul Akhir
  1. Peperangan - Ada beberapa peperanganyang dicatat berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang berlaku di bulan Rabi`ul Akhir. Antaranya ialah Peperangan Najrah, pengusiran kaum Yahudi Bani Nadhir, Peperangan Al-Ghabah atau Zi-Qaraq, dan Peperangan Al-Ghamar.
  2. Pengepungan Damsyik - Pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA diketuai oleh Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan Khalid bin Al-Walid RA tahun 14 Hijrah dan seterusnya membawa kepada pembukaan Damsyik.
  3. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA meninggal dunia dan Sayyidina Umar Al-Khattab RA dibai`ah menjadi khalifah yang kedua.
  4. Peperangan Jamal - Tahun fitnah di mana Sayyidatina Aisyah RHA terheret dalam kancah peperangan menentang Khalifah Ali bin Abu Talib RA. Ramai sahabat-sahabat yang gugur syahid antaranya ialah Sayyidina Talhah RA dan Sayyidina Az-Zubair RA.
  5. Imam Ghazali RH meninggal dunia.
  6. Ada pendapat yang mengatakan bahawa 27 Rabi`ul Akhir ialah tarikh Isra' dan Mi`raj Rasulullah SAW (tarikh difardhukan solat). Namun begitu tarikh yang masyhur dan yang digunapakai di Malaysia ialah 27 Rejab. Sehingga kini masih belum ada kajian rasmi individu atau pihak tertentu yang menyemak kembali tarikh sebenar Isra' dan Mi`raj berlaku.

Fadhilat-fadhilatnya


Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardhu mahupun yang sunat di bulan Rabi`ul Akhir adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita diminta untuk meningkatkan amalan dari semasa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.


Terdapat banyak lagi amalan sunat yang kita masih belum atau tidak berkesempatan melakukannya. Maka pada bulan ini ialah masa yang sangat sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang kita tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini.

Di samping kita menjaga dan meninggkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga mesti cuba memperbanyak amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat ialah penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.

Antara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah SAW sepanjang tahun ialah solat Tahajjud, solat Rawatib, puasa Isnin dan Khamis, sedekah, membaca Al-Quran, dan lain-lain lagi. Wallahu A`lam.

Sumber Rujukan
  1. Jabatan Mufti Terengganu, http://mufti.islam.gov.my/terengganu
  2. Dr. (H) Haji Kassim bin Bahali, Jabatan Mufti Melaka, jkmmufti@tm.net.my
  3. Shaykh Muhammad Saleem Dhorat, Riyadul Jannah; Gardens of Paradise issue 1 (2004), http://www.riyaduljannah.com
  4. Majlis Ugama Islam Singapura, Warita 1996, http://www.muis.gov.sg
Disemak oleh:
  1. Dr. (H) Haji Kassim bin Bahali, Pengerusi Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Melaka.
  2. Ustaz Mohd. Nazri bin Abdul Majid, Pengerusi Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka.
  3. Ustaz Mohd. Ali bin Zainal, Penolong Pengerusi Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA