Sabtu, 19 September 2009

SALAM `IDUL FITRI 1430H


PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI PRESIDEN PAS


BAGI
pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan Allah Taala melakukan nuzul al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.


Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan al-Quran.
Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah ini.


Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah dan percaya kepada janji Allah, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah Taala memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.
Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah Taala.


Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan menyungguhkan lagi perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah, yang bermaksud:

"Supaya agama ini zahir, menang, mengatasi segala ajaran yang lain walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin." (Surah as-Saff: 9)


Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.

Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (Surah Ali Imran: 102)


Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.


Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


RAMADAN DITANGISI, SYAWAL DIINSAFI


Bulan Ramadan yang menjanjikan seribu macam pahala, sering menjadi rebutan setiap insan muslim. Masing-masing mengharapkan ganjaran pahala yang banyak bagi menampung dosa-dosa yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari.

Memenuhi tuntutan serta susulan tazkirah di bulan Ramadan

Fenomena yang sering berlaku di kalangan masyarakat dalam negara ini adalah ketidaksungguhan mereka meneruskan agenda dan aktiviti keagamaan, ia terhenti dengan berakhirnya Ramadan, seolah-olah Ramadan sahaja bulan untuk beribadat sedangkan bulan-bulan lain tidak perlu berbuat demikian.
Inilah kesilapan yang perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Allah bagi pandangan mereka hanya wujud pada bulan Ramadan, sedangkan bulan lain bagi tanggapan mereka tidak perlu pengisian rohani. Apabila persepsi ini tidak diubah dari sekarang, mungkin ia akan dianggap betul oleh sesetengah anggota masyarakat. Akhirnya ia menjadi semacam budaya yang merugikan Islam dan umat Islam itu sendiri.


Syawal jadi bulan koreksi diri

Masjid-masjid dan surau-surau kosong dengan pengunjungnya selepas bulan Ramadan, kerana Syawal bagi pandangan sesetengah umat Islam adalah bulan 'rumah terbuka'. Oleh kerana puasa Ramadan juga sebulan, maka berbaloilah apa yang mereka lakukan bagi memenuhi tuntutan nafsu.

Kelas-kelas pengajian seperti ilmu fiqh, akidah tauhid, tafsir, hadis, sirah, tasawwur dan lain-lain hanya dihadiri oleh mereka yang sama juga, itupun tidak berkitab, hanya mendengar. Setiap kali masalah timbul, para penceramah menjadi sasaran untuk diajukan soalan yang sering berulang, sedangkan sepatutnya setiap apa yang didengar perlu dicatat atau berkitab supaya ilmu yang didengar itu bukan hanya ada dalam kitab, malah ia perlu difahami dengan betul sama seperti anak-anak kita belajar di sekolah masing-masing.

Kalau budaya ini berterusan seperti tahun-tahun sudah, maka ia akan melahirkan insan-insan yang tetap sama fahamannya, malah ia tidak meningkat ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

Menurut satu riwayat, kalau amalan hari ini tetap sama dengan semalam, atau amalan esok tetap sama dengan hari ini, maka ia menunjukkan tiada satu pencapaian terbaik digarap oleh umat Islam sebulan dalam tazkirah Ramadan.

Alangkah ruginya masa berlalu, tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh insan-insan yang kurang prihatin atau peka kepada isu-isu agama mereka, sedangkan banyak persoalan dikemukan oleh para alim ulama’ dalam forum-forum mereka khususnya yang disiarkan menerusi laman-laman web Islam, antara tajuk-tajuk forum yang patut dihadiri oleh umat Islam di bulan Syawal bagi menggilap kemampuan daya berfikir mereka adalah:

1) Mengapa umat Islam berani menentang Allah secara terbuka?
2) Benarkah kita umat yang komited dengan Islam?
3) Benarkah amalan kita diterima Allah sedangkan kita tidak menyumbang kepada Islam?
4) Adakah kita sebaik-baik umat yang dikeluarkan Allah buat umat manusia sejagat?
5) Mengapa masih terdapat ramai umat Islam tidak menutup aurat?
6) Mengapa Allah bukan matlamat sebenar dalam segenap agenda hidup kita?
7) Mampukah umat Islam mengekang kemaraan musuh-musuh Islam dalam segenap aspek hidup mereka?
8) Dimanakah kita dengan Rasulullah s.a.w.?
9) Mengapa para isteri baginda Rasulullah s.a.w. tidak dijadikan role model kepada muslimah hari ini?
10) Bolehkah kita mati dalam agama Islam?

Dan banyak lagi, yang kiranya apabila umat Islam tidak bersungguh untuk memahami salah satu tajuk di atas sebagai jalan untuk memperkasa diri dengan elemen agama, sudah pasti mereka tidak akan menjadi umat yang berjaya dalam hidup.


Tindakan yang perlu kita buat selepas Ramadan

Justeru, bagi mengekalkan kelangsungan amal ibadat serta hubungan intim dengan Maha Pencipta, adalah disarankan agar saudara/saudari memastikan beberapa panduan di bawah ini:

1) Paling penting yang perlu anda lakukan sebelum yang lain, memohon pertolongan Allah SWT agar terus memberikan hidayat-Nya, menetapkan iman pada jalan agama-Nya serta memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan agama.

2) Kekalkan amalan takwa yang digarap ketika melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan walaupun menjangkau bulan Syawal sebagai bekalan setahun untuk Ramadan akan datang.

3) Perbanyakkan beramal dengan amalan-amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan untuk kelangsungan di bulan Syawal dan seterusnya seperti solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, banyak berdoa.

4) Banyak bergaul dengan golongan para Solihin seperti majlis zikir, nasihat, kaunseling dan tazkirah.

5) Memperdalami maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai sejarah kehidupan para Anbiya’, Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, tokoh-tokoh sarjana Islam terkemuka dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang pernah melonjakkan Islam, sama ada melalui pembacaan, mendengar kuliah atau cakera padat, kaset agama dan sebagainya.

6) Memperbanyakkan mendengar kuliah-kuliah fardu ‘Ain di masjid atau surau secara langsung ataupun kaset dan cakera padat (sebagai bahan rujukan tambahan).

7) Memelihara tuntutan ibadat khusus seperti solat lima waktu, mengqada’ puasa yang tertinggal kerana sakit, musafir atau uzur syari’e, kerana ia amat dituntut untuk dilakukan segera.

8) Memelihara amalan-amalan sunat seperti puasa enam hari di bulan syawal, bersedekah, menziarahi sanak-saudara, jiran tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

9) Membaca al-Quran, bermula dengan menghafaz surah-surah pendek dan menghafaz ayat-ayat penting sebagai pendiding diri seperti ayat kursi, surah al-Mulk, Yasin dan lain-lain.

10) Memperbanyak zikir dan wirid, terutamanya zikir Ma’thurat susunan Imam Syahid Hasan al-Banna.

11) Menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan hati, sama ada bergaul dengan golongan maksiat, menonton filem lucah, membaca majalah-majalah yang boleh melalaikan seperti hiburan dan lain-lain, mendengar muzik yang melalaikan dan banyak lagi.

12) Bertaubat lah kepada Allah SWT dengan kadar segera dengan menyesali apa yang telah dilakukan yang menyalahi hukum syarak dan berazam tidak akan mengulanginya pada masa-masa akan datang.

13) Berhenti dari merokok terutamanya jenama rokok milik Zionis Israel, Amerika dan Britain yang menghimpun dana bagi membeli senjata untuk membunuh saudara-saudara Islam di Palestin, Lubnan dan lain-lain.

14) Menyesali atas perbuatan menghadiri program-program maksiat seperti hiburan yang melalaikan atau sukan yang mengalang diri dari menunaikan solat lima waktu.

15) Gigih untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah serta Rasulullah s.a.w dan bersedia melakukan segala perintah dengan penuh rasa tanggungjawab dan pasrah kepada arahan kedua-duanya.

Janganlah jadi golongan yang hanya mengenali Allah SWT di bulan Ramadan semata-mata dengan amalan yang banyak, malah jadikanlah diri anda sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa sepanjang masa.

Jumaat, 18 September 2009

LAILATUL QADAR


Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadhilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan Nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatul Qadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam al-Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! " (al-Qadr:1-5)


Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat daripada Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israil yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain `Aisyah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan
Daripada maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan pena dan tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ia memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi Fardhu ‘Ain dan Fardhu Kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud, "Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan sebagaimana yang diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa."
Perkara ketiga ialah hikmah daripada anugerah malam al-Qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna sekiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan pada sepuluh akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup dan usia kita dalam ibadah.
Mencari Malam Al-Qadar
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-Qadar, dalam kalangan ulama' ada menyatakan bahawa, malam-malam ganjil tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27, dan 29 daripada bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-Qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawa
b pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatul Qadar supaya dia bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatul Qadar itu pada malam 27 Ramadhan.
Daripada keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan kita di akhirat.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah.

Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam daripada belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu meningkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah pada sepuluh akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).


Isnin, 7 September 2009

NUZUL AL-QURAN



Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul al-Quran.

Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang seringkali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar al-Kubra (berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijriyyah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan puasa Ramadhan).

Peristiwa Nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan 'Nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

'Al-Quran' bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal Tauhid, Ibadat, Jinayyat, Mu`amalat, Sains, Teknologi, dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata 'al-Quran mukjizat akhir zaman' atau 'al-Quran yang mempunyai mukjizat'. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran, tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah SWT, "Dan tidak seekor binatang pun yang melata di muka Bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (al-An`am: 38)

Al-Quran adalah Hidayah, Rahmat, Syifa', Nur, Furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai an-Nur bererti cahaya yang menerangi. Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan az-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah al-`Alaq yang bermaksud, "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-`Alaq: 1-5)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA