Ahad, 20 Januari 2013

#100 - TARIKH SEBENAR MAULIDUR RASUL SAW


Assalamu 'alaykum sahabat pengunjung blog yang dirahmati Allah SWT.

Alhamdu lillah, entry kali ini telah pun memasuki angka 100. Segala puji bagi Allah SWT kerana masih memberikan peluang kepada kita untuk terus menghirup udara segar-Nya sekaligus meningkatkan amalan kebajikan serta bertaubat daripada segala dosa dan nista.

Insya-Allah, entry kali ke-100 ini akan membicarakan topik yang sering menerjah telinga kita setiap kali terbitnya bulan Rabi'ul Awwal, iaitu berkenaan Maulidur Rasul atau Hari Keputeraan Muhammad SAW. Namun begitu, entry kali ini bukan ingin mengupas sirah Rasulullah SAW dan perjuangan baginda dalam memartabatkan syi'ar Islam, sebaliknya entry ini bertujuan membongkar isu tarikh sebenar hari keputeraan dan kewafatan baginda SAW. Ayuh sama-sama kita luangkan masa dengan mengutip ilmu Allah ini :)


Dipetik daripada Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran was Sunnah dengan sedikit pindaan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang


Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta keluarga baginda dan para sahabatnya.

Di antara cuti umum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia ialah pada 12hb. Rabiul Awwal kerana ia dianggap sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul). 

Pihak Darul Quraan Was Sunnah berasa bertanggungjawab untuk membincangkan persoalan ini demi memperbetulkan tarikh lahir Baginda SAW yang ditetapkan sebagai cuti umum itu kerana tidak ada ertinya kita merayakan sesuatu hari jika ia tidak menepati hari yang dimaksudkan itu dengan tepatnya. Apalagi kalau diterima juga tarikh wafat Nabi SAW sebagaimana dipercayai umum pada 12hb. Rabiul Awwal. 


Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi SAW dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya.


Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa'i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, "Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah."

Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, "Dia seorang dajjal". (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jld. 3, hal. 468-475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya. 

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9 Rabiul Awwal, Tahun Gajah.  Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin 'Aini. (Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261). 

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi SAW hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. 

Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah: 

· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah SAW iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad SAW ketika itu berusia 63 tahun. 

· Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi. 

· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi SAW jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M. 

· Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi SAW, walau-bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal. 

Mereka hanya berselisih tentang tarikh di antara 8 hingga 12 haribulan dalam bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas. Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin (hal. 6), Safiyyul Rahman Al Mubarakpuri di dalam Ar Rahiqul Makhtum (hal. 54), 'Allamah Sibli Nu'mani di dalam Siratun Nabi (jld. 1, hal. 176), Maulana Abul Kalam Azad di dalam Rasul Rahmat (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad SAW pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan dihadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu: 
· Tahun kewafatan Baginda SAW ialah 11H.
· Dalam bulan Rabiul Awwal. 
· Antara 1hb. hingga 12hb. 
· Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52). 
· Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll). 
· Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari). 

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda SAW seperti berikut: 
1. Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal. 
2. Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabiul Awwal. 

Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.

Wallahu 'alam.

Ahad, 13 Januari 2013

BEZA ANTARA 'AKU' DAN 'KAMI' DALAM AL-QURAN


ALLAH SWT sering menyebut diri-Nya dengan nama-namanya atau sifat-sifat-Nya. Kadangkala Allah menggunakan kata ganti nama sama ada Aku atau Kami.



PENGERTIAN 'AKU'


Menurut ulama, kata ganti 'Aku' bermakna Allah firmankan untuk memperkenalkan keagungan dan kekuasaan tunggal yang mutlak, tiada campur tangan pihak lain dalam perbuatan-Nya.



Biasanya untuk mengarahkan kita agar sentiasa dan hanya mengabdi diri kepada-Nya. Contohnya, dalam Surah An- Nahl: 2 yang ertinya:



'Dia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya (yang layak menjadi Rasul), (lalu Dia berfirman kepada Rasul-Rasul): 'Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada-Ku.'



Juga pada Surah Thaha, ayat 14, yang ertinya:

'Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Aku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku.'


PENGERTIAN KAMI


Kata ganti 'Kami' Allah firmankan untuk menerangkan adanya keterbabitan pihak lain dalam proses pekerjaan atau terjadinya sesuatu.



Misalnya dalam urusan rezeki, Allah tidak pernah menurunkan wang dari langit kepada seseorang atau wang muncul di atas sejadah seseorang selepas dia berdoa tanpa adanya keterlibatan usaha dan pihak lain.



Dalam urusan ini, rezeki berupa wang mesti diusahakan, ia ada usaha atau sebab. Mungkin ia datang melalui majikan, kawan niaga dan sebagainya.



Allah berfirman dalam Surah Al-Isra' , ayat 31 bermaksud:


'Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan; Kami yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan besar.'



Contoh lain adalah sel-sel manusia dalam proses penciptaan manusia dan juga pertumbuhannya, walaupun Allah mampu menciptakan manusia tanpa campur tangan manusia seperti dalam penciptaan Adam.



Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun, ayat 12 yang ertinya:


'Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah.'



Juga keterlibatan pihak lain semasa penurunan Al-Quran dan penjagaannya. Dalam penurunan Al-Quran, Allah melibatkan malaikat Jibrail untuk menyampaikan firman-firman-Nya, walaupun Allah berkuasa menyampaikan secara langsung.



Allah berfirman dalam surah Ad- Dukhan, ayat 2, bermaksud:


'Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).'



Begitu juga dalam pemeliharaan dan penjagaannya, Allah melibatkan para sahabat, ulama, pelajar, penghafal dan pengkaji Al-Quran. Allah berfirman dalam Surah Al-Hijr, yang ertinya:



'Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.'



Begitu juga yang Allah menggunakan kekata 'Kami' dalam surah Al-Qamar, ayat 17, 22, 32 dan 40 yang secara keseluruhannya bermaksud bahawa Al-Quran diturunkan untuk menjadi peringatan dan pengajaran untuk seluruh kemanusiaan, khususnya umat Islam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA