Sabtu, 27 Disember 2014

#136 - PRAY FOR EVACUEES


25/12/2014

Awal tahun 2014 dahulu, Malaysia ditimpa kemarau. Hujan tidak turun selama lebih kurang empat bulan. Beberapa buah negeri di Malaysia ada yang menjalankan catuan air. Hinggakan kita terpaksa menunaikan solat sunat istisqa' yang tidak pernah-pernah kita lakukan dalam hidup memohon supaya Allah menurunkan hujan.

Kini, 2014 hendak melabuhkan tirainya. Kita diuji pula dengan bah dan banjir yang melanda beberapa negeri di pantai timur dan utara Semenanjung Malaysia. Sekali lagi, kita merayu kepada Allah memohon agar Bumi menelan air dan langit berhenti dari mencurahkan air.

Aduhai, manusia! Masih butakah kalian? Kita ini lemah sangat. Ya, sangat lemah. Masakan kita masih mahu mendabik dada dan menyombongkan diri di hadapan Tuhan? Dunia sudah tenat, kawan-kawan. Sistem ekologi dunia sudah tidak stabil, tapi kita masih ego dan terus-menerus melakukan kerosakan di atas muka Bumi tanpa sedikit pun rasa simpati dan empati?

Namun begitu, kasih sayang Allah maha luas. Dia tetap menurunkan rahmat-Nya pada saat banyak manusia yang masih ingkar arahan-Nya. Sedarlah insan, mari kembali ke pangkal jalan!

---

30: 41

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa-apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

**********

26/12/2014

Malam ini, hasrat untuk memulakan tugasan menyiapkan tutorial membara dalam diri. Terinspirasi daripada sahabat, kononnya. Namun begitu, dengan kondisi rongga hidung yang sering dipenuhi mukus sehari dua ini merencatkan segala azam murni yang telah diniatkan tadi. Tak selesa rasa dibuatnya. Ah, Muhaimin! Cakap je la malas nak buat kerja.

Aku merebahkan diri di atas katil. Tilam yang empuk itu tidak cukup untuk memberikan keselesaan kepada tubuh badanku yang kian kesejukan dek cuaca luar yang dingin terus-menerus tanpa henti. Aku membelek-belek WhatsApp dan membaca segala isi kandungannya. Kebanyakan mesej yang singgah di dalam peti masuk bercerita mengenai berita terkini musibah banjir yang melanda beberapa negeri di pantai timur dan utara semenanjung. Khabarnya, beberapa kawasan di Selangor dan Johor juga sudah mula dinaiki air. Ditambah lagi dengan berita mengenai beberapa kematian dan mangsa yang hilang ditelan arus deras banjir.

Aku menjadi tidak keruan. Fikiranku terus melayang ke bumi tarbiyah yang pernah aku jejaki suatu masa dahulu, APIUM Nilam Puri. Memori ini juga terkenang akan keluarga angkatku di Kampung KESEDAR Paloh 1, Gua Musang. Bagaimana nasib para asatizah, sahabat, dan keluarga di sana? Ustaz Hazrul Salleh, apa khabar Nilam Puri sekarang ini? Zul Iman, bagaimana kondisi Ime, ummi, dan abah di Paloh?

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Ketahuilah kalian, doa kami di sini tidak putus-putus moga Allah memberikan kalian kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini. Walau jasad berada di Kuala Lumpur, namun hati ini sudah terbang ke sana. Semoga kalian sentiasa berada dalam perlindungan-Nya, in syaa Allah ~

---

2: 155-157

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami ialah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya."

#PrayForPantaiTimur
#PrayForMalaysia
#PrayForIslam

Ahad, 7 Disember 2014

#135 - SUNGAI POLITIK


Apabila saya bersua muka dengan beberapa lapisan masyarakat dan bertanyakan atau bersembang perihal politik, antara jawapan klise yang selalu saya peroleh daripada mereka yang tidak meminati bab politik ini ialah "politik itu kotor".

Politik itu kotor. Ya, saya mengakui politik zaman kini memang sangat kotor dengan asbab tangan-tangan mereka yang mengotorinya. Ok, kalau kau sudah tahu bahawa politik zaman ini sangat kotor, apa usaha yang telah kaulakukan untuk membersihkannya (menyucikannya)? Dengan tidak mahu melibatkan diri dalam politik? Atau jangan bercakap soal politik? Atau tidak mahu ambil pusing langsung tentang politik dan hanya berpeluk tubuh, mendiamkan diri, serta berkelubung di dalalm selimut membiarkan saja politik terus kotor dan kotor? Begitu?

Come on guys, jangan sempitkan minda dan pemikiran anda bahawa politik itu hanya berkisar dalam politik kepartian saja. Sangat luas kot bidang politik ni. Hatta kau nak berkeluarga pun (mencari laki bini) termasuk dalam bidang politik jugak tau. Yeke? Habis yang kau duk ralit membasahi lidah kau dengan "oh bakal imamku", "oh tulang rusuk kiriku" bukan ke maksudnya kau nak memilih seseorang untuk menjadi pemimpin untuk keluarga kau atau pun kau yang akan menjadi pemimpin terhadap so-called tulung rusuk kiri kau tu?

"Bukan, aku tengok politik ni kotor sangat, tak mahulah aku ambik port dalam benda-benda camni." Nak tanya, politik sahajakah yang kotor hingga menyebabkan kau mahu lari dari mengambil tahu soal politik? Bagaimana pula dengan sistem kehidupan yang lain; ekonomi, sosial, pendidikan, dan lain-lain? Tidakkah setiap satu itu pun sudah kotor juga? Dengan masalah riba, masalah sosio-ekonomi, masalah pendidikan negara yang sudah jauh tersasar dari falsafah pendidikan kebangsaan, dan banyak lagi; tapi kau boleh je layan lagi benda-benda kotor macam tu. Apabila masuk soal politik, terus kaucakap, "Eh, tak boleh! Politik itu kotor! Kotor!" Apakah? Seolah-olah macam kau dah sekularkan Islam ni la, sebab kau dah serupa menjuzukkan Islam ni dengan menolak soal politik, sedangkan Islam ini syumul.

Sebab tu saya mohon sangat, tolong ambil cakna dengan setiap isu yang berlaku dalam kalangan kita ni. Jangan jadi bodoh sombong (ignorant). Cubalah untuk berusaha mengikut kadar kemampuan masing-masing. Tak boleh buat banyak, sikit pun jadilah. Jangan tak buat langsung dan korek hidung sahaja.

But above all, segala kerosakan dan kekotoran ini hakikatnya ada satu je jalan penyelesaiannya, iaitu kembali kepada Islam. Nak bersihkan politik? Kembali kepada Islam. Nak bersihkan ekonomi? Kembali kepada Islam. Pendek kata panjang cerita, Islam is the solution. Tapi kalau ada manusia spesies kau yang tak kisah pasal semua ni, nak harapkan siapa lagi? We're Muslims, right?


By the way, tahniah diucapkan kepada Pro-Mahasiswa Universiti Malaya yang berjaya mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UM 2014 pada 4 Disember yang lalu dengan keputusan seperti berikut:
  • Pro-Mahasiswa: 21 kerusi
  • Penggerak Mahasiswa: 16 kerusi
  • Bebas: 2
  • Progresif: 1
Semoga dapat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin dalam mengangkat serta mewakili suara mahasiswa. Saya Ahmad Muhaimin, pelajar tahun dua Asasi Pengajian Islam dan Sains UM, dan saya tidak dapat mengundi pada tahun ini. Sekian.

#134 - OH, ADIK-ADIKKU!

Vroom! Vroom!

Melihatkan gelagat adik-adik saya yang kerap bermain permainan komputer, lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah seringkali membuatkan saya tersenyum sendiri dan mengingatkan saya pada zaman 'jahiliah comel' saya dahulu yang gemar juga mengisi masa kosong dengan aktiviti seperti ini. Apa yang terlintas setiap hari setiap kali bangun pagi ialah; bangun pagi, buka komputer, internet, main game. Seolah-olah hanya itu sahaja rutin dan tujuan hidup.

Tetapi itu cerita dahulu. Kini saya sedar bahawa tanggungjawab saya sangat berat dalam menongkah arus hidup ini daripada sekadar bermain game. Hinggakan masa untuk bermain game itu sebenarnya tidak perlu wujud langsung dalam kamus hidup apabila kita betul-betul menghayati makna hidup dan melaksanakan segala tanggungjawab yang masih tertunggak.

Hakikatnya, saya juga lambat untuk menyedari hakikat ini. Ketika saya menginjakkan kaki di bumi Nilam Puri sebagai pelajar APIDS itulah baru saya mula membuka minda seluas-luasnya dalam meneroka dunia luar serta falsafahnya. Hal ini juga banyak dipengaruhi oleh sahabat seperjuangan terutamanya saudara Shahrulanwar yang saya kira sangat proaktif dalam menggalakkan sahabat-sahabatnya untuk menghidupkan zaman mahasiswa ini sebaik mungkin. Kuliah jalanan, bedah buku, diskusi, hei banyak lagi benda tak explore, Muhaimin woi!

Atas inisiatif sendiri, saya cuba untuk memaksa diri sendiri dengan banyak membeli pelbagai bahan bacaan ilmiah dan bukan sekadar buku-buku agama demi merealisasikan 'minda liberal dan terbuka' gagasan saya sendiri (eh). Hobi lama saya suatu ketika dahulu iaitu membaca buku (sebelum ditewaskan oleh sang komputer dan internet) cuba untuk saya hidupkan semula. Ya, budaya membaca sangat perlu dipupukkan sedari kecil kerana peratusan rakyat Malaysia yang membaca dalam tempoh setahun masih rendah, anak-anak!

Jadi, apabila saya menyaksikan kegiatan adik-adik yang betah berlama-lama di hadapan skrin monitor, saya tidak boleh membuat penilaian awal bahawa mereka akan kekal selama-lamanya dengan hobi seumpama itu kerana saya juga pernah berada di posisi tersebut. Malah, mungkin mereka akan sedar lebih awal daripada saya yang 'dah masuk alam universiti baru nak sedar!', heh. Insya-Allah, suatu masa nanti, adik-adikku yang nakal :P

Khamis, 20 November 2014

#133 - AYAHKU SEORANG YANG 'LIBERAL'...


"Nanti kamu degree nak sambung course apa?"

Kereta Mercedes milik ayah meluncur laju memecah keheningan pada malam itu. Sambil memandu, ayah meluangkan masa untuk bersembang dan bertanya khabar perihal saya mengenai pembelajaran akademik di universiti, lebih-lebih lagi saya masih bergelar pelajar Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIDS), satu-satunya asasi yang mempunyai gabungan pengajian dalam kedua-dua bidang tersebut.

"Insya-Allah, sambung Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat (IT). Double major degree," saya menjawab pertanyaan ayah. "Emm, IT tu dalam bidang apa?" tanya ayah lagi. "Mungkin multimedia atau pengurusan kot. Apa entah nama dia," saya menjawab kembali. "Hah? Multimedia? Tak payahlah ambil multimedia, dah banyak sangat dah orang ambil course tu, nanti nak cari kerja pun susah," cadang ayah. Seperti biasa, ayah sering mengaitkan kursus yang dipilih oleh anaknya dengan pekerjaan, padahal saya sendiri sebenarnya tidak berapa kisah pun pekerjaan apa yang akan saya mohon nanti.

"Ayah suggest baik kamu ambil IT dalam bidang software engineering ke, luas apa bidang tu, macam-macam boleh apply dengan software engineering. Nak buat apps dalam Android ke. Ni, GPS yang ayah tengah guna ni pun semua pakai software engineering jugak," kata ayah sambil menunjukkan global positioning system (GPS) atau sistem kedudukan sejagat miliknya di hadapan kereta. Saya hanya mendiamkan diri, merenung sambil berfikir kembali, apakah terdapat bidang software engineering dalam kursus double major Pengajian Islam dan IT yang akan saya mohon untuk pengajian sarjana muda saya bermula September depan. Entahlah, rasa macam tak ada, heh.

Sambil meneruskan pemanduan, ayah memasang CD Qasidah bagi menghilangkan kesunyian malam. Kemudian, ayah bertanya lagi, "dengar cerita qasidah ni dibuat oleh syiah, sebab ada liriknya yang terlampau memuji dan memuja Nabi, betul ke?" Saya berfikir lalu menjawab, "emm, rasanya tak pernah dengar pulak, tapi yang Muhaimin tahu ada je sesetengah liriknya yang memang macam tu, terlampau mengagung-agungkan Nabi." "Itulah, kalau nak puji Nabi pun, janganlah puji lebih-lebih sangat, seolah-olah macam Nabi ada segala kuasa ajaib untuk alam," kata ayah. Saya pun mengiyakan. Benar, Nabi SAW sendiri pun tidak suka jika ada umatnya yang terlampau mengagung-agungkan baginda. Saya pun terlupa bagaimana matan hadis tersebut. Selepas itu, ayah menduga saya lagi, "agak-agak kan, tahu tak kenapa selepas selesai misi dakwah Nabi dalam menyebarkan Islam selama 23 tahun, Allah terus wafatkan Nabi dalam usianya yang masih 63 tahun? Sebab kalau umur Nabi masih panjang, akan ada orang yang menganggap Nabi macam Tuhan lalu menyembahnya." Ok, pertama kali dalam hidup saya mendengar maklumat seperti ini.

"Err, tapi waktu sebelum Nabi diwafatkan, kan Nabi diberi pilihan oleh malaikat sama ada hendak dipanjangkan umur atau bertemu Allah? Nabi pilih hendak bertemu Allah sebab Nabi dah rindu nak bertemu dengan kekasih abadinya," celah saya. "Yalah, Nabi pilih nak wafat sebab Nabi pun tahu, kalau umurnya dipanjangkan, pasti akan ada umatnya yang taksub akan menyembahnya," jelas ayah. Saya terdiam. "Tengok sajalah waktu zaman Nabi, orang Arab ni ada yang jenis taksub sikit, sampai kencing Nabi pun ada orang sanggup minum," tambah ayah lagi sambil ketawa. Saya hanya mampu tersenyum. Entahlah, mungkin ada benarnya kata-kata ayah, tetapi setakat yang saya tahu, mereka melakukan sedemikian disebabkan perasaan cinta dan kasih mereka yang sangat tinggi terhadap Nabi SAW. Wallahu a'lam.

Perbincangan pada malam itu meleret hingga sampai ke topik berkaitan ibadah dan sebab ibadah ditunaikan. Kini, ayah bertanya soalan yang agak 'panas' pula, "Muhaimin tahu tak? Kenapa kita kena solat, tunaikan zakat, puasa, dan lain-lain? Kenapa semua ibadat tu perlu dilakukan?" Ok, ayah memang sengaja mahu menduga saya. "Adakah ibadat yang kita lakukan ini hanya semata-mata sebab nak dapat pahala? Adakah pahala itu tujuan utama ibadat dikerjakan?" sambung ayah lagi. Saya merenung panjang, kemudian saya menjawab, "bukan, tujuan utama bukan pahala yang kita nak, tapi yang paling utama ialah kita nak kan keredaan Allah tu. Allah perintahkan kita melakukan ibadat sebab semua ibadat tu ialah keperluan hidup kita juga sebenanrya. Allah pernah kata, Dia tak rugi apa-apa, sebaliknya kita yang rugi kalau kita ingkar akan suruhan-Nya." Hoho, panjangnya saya jawab, getus saya dalam hati. Ayah hanya tersenyum. Kemudian, ayah bersuara, "Pernah dengar tak hadis pasal Aisyah RHA yang melihat Nabi SAW bersusah-payah beribadat sampai bengkak-bengkak kakinya? Tahu apa Nabi jawab?" "Tak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?" saya menyambung dengan bangga, heh. "Ha, nampak kan? Taraf Nabi tu jawab macam tu, beribadat sebab bersyukur! Kita?" ayah menimbulkan persoalan. Saya terdiam, berfikir mungkin.

"Jadi, apa fungsi pahala tu sebenarnya?" duga ayah lagi. "Pahala tu macam motivasi untuk kita melakukan kebaikan la, macam ayah yang janji akan bagi hadiah kat anak kalau anaknya cemerlang dalam peperiksaan. Nanti anaknya pun akan bersemangat untuk terus belajar dengan gigih bagi mendapatkan apa-apa yang diinginkan," jawab saya. "Ya, tapi pahala bukan tujuan utama kita beribadat. Hanya sekadar motivasi. Kena ingat tu," kata ayah. Saya hanya mengiyakan.

"Muhaimin cubalah tanya ustaz-ustaz kat universiti tu, kat mana-mana ke, cuba timbulkan persoalan yang berat-berat ni, tengok diorang boleh jawab ke tak. Diorang dah bertahun-tahun belajar agama takkan tak boleh jawab. Kita belajar ni pun kenalah berfikir. Bukankah Allah dah suruh kita berfikir? Apa dalam bahasa Arabnya?" tanya ayah. "Afala tatafakkarun," saya menjawab. "Ya, afala tatafakkarun, tidakkah kamu berfikir? Maknanya, Allah suruh kita berfikirlah tu, jangan ikut secara membuta tuli je apa-apa yang kita belajar dan apa yang diajar." jelas ayah. Saya mengangguk perlahan. Ayah pun ada kata, ada beza antara orang yang berilmu dan orang yang bijaksana. Semua orang boleh jadi berilmu, tapi tidak semua orang boleh memperoleh kebijaksanaan.

Sambung ayah lagi, "kita pun kena jadi liberal, berfikiran liberal, maknanya berfikiran merdeka, bebas daripada dikongkong. Barulah fungsi akal digunakan sebaiknya." Seketika, saya berdebar. Wow, ayah saya sudah memasuki topik liberal! Perbincangan bakal bertambah menarik malam ini. "Liberal tu maksudnya bebas kan. Maksudnya, kita perlu berfikiran liberal, tapi jangan gaya hidup macam orang liberal pulak," jelas ayah sambil ketawa sekali lagi. Ya, saya faham maksud ayah. Fikiran kita yang perlu liberal, bukan gaya hidup seperti liberalis yang tidak mahu dikongkong dengan kehidupan beragama yang kononnya dianggap sempit dan menyusahkan. Allahu, banyak ilmu dan hikmah yang saya peroleh pada malam itu.

Sebagai amanat terakhir sebelum kami tiba di perkarangan Universiti Malaya (UM), ayah menyampaikan pesanan, "Muhaimin sangat beruntung dapat belajar dalam bidang ni, boleh dapat dua-dua sekali (Islam dan Sains). Ayah dulu bukan boleh dapat peluang macam ni. Ayah belajar agama dulu pun kena cari sendiri; beli buku-buku dan kitab-kitab agama, dengar ceramah macam ustaz Nik Aziz, ..." "join usrah..." saya mencelah. Ayah mengangguk. "Ya, join usrah. Haaa, macam tu la ayah belajar agama dulu. Muhaimin pun belajar kat UM kan, antara tempat yang sangat bagus untuk mendapatkan pengalaman berharga. Jadi, jangan lepaskan peluang ni," pesan ayah lagi.

Benar, ayah dahulu pernah menyertai usrah kerana ayah dahulu mengambil pengajian sarjana muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal di University of Missouri Rolla, Missouri, Amerika Syarikat. Dan kerana itulah ayah punya sedikit sebanyak ilmu pengetahuan Islam yang saya kira agak mantap yang boleh dikongsikan bersama anak-anak beliau. Ayah juga berfikrah Islam dan tidak dilupakan juga... berfikiran liberal, heh. Syukur saya punya ayah seperti ini.

"Ok, ayah. Doakan Muhaimin ya dalam pengajian asasi saya ni!" saya mencium tangan dan pipi ayah sebelum saya kembali ke kolej meninggalkan ayah bagi memulakan semester keempat (semester terakhir) dalam pengajian APIDS saya. Saya mendapat suntikan baru dalam perjuangan menuntut ilmu kerana-Nya. Insya-Allah, teruskan melangkah!

Jumaat, 7 November 2014

#132 - DI SEBALIK RUMAH YANG BESAR ITU...

Gambar hiasan

Nota kepala: Jangan baca. Kisah ini tiada kaitan dengan yang telah hidup atau yang sedang mati.

Alkisah, di sebuah teratak besar yang terletak di puncak bukit saujana mata memandang, tinggal di dalamnya seorang anak teruna. Umurnya masih belasan tahun. Oh ya, nama mamat tersebut Marjan. Ya, sayalah itu.

Saya punya kedua-dua orang tua yang diberikan rezeki kekayaan oleh-Nya dan saya bersyukur diberikan kenikmatan dan kemewahan hidup sebegini. Namun hakikatnya, hati saya tidak sebesar rumah yang saya diami, tidak sekaya harta benda yang saya miliki. Jiwa saya kosong, perasaan saya sentiasa ingin memberontak. Meluap-luap minta disuapkan santapan kasih sayang dan perhatian kerna sudah lama dibiarkan lapar dan dahaga sebegini. Tetapi, saya tidak mampu bersuara minta diperlakukan seperti itu. Jadi, cukuplah catatan ini sebagai pelepas geram dan perindu dendam yang entah sampai bila mahu terlunas.


Hmm, mungkin catatan ini tidak patut ditulis. Ya, saya tidak memaksa pun kalian untuk membacanya, dan memang tidak patut pun untuk kalian membacanya, kerana catatan ini tiada kepentingan langsung untuk kalian mentelaahnya. Catatan ini hanyalah sebagai luahan peribadi di alam maya semenjak saya tidak mempunyai sesiapa lagi di rumah sebagai tempat untuk saya bermanja, berkongsi segala masalah, bergurau senda, dan bercerita mengenai kehidupan melainkan Allah SWT yang Maha Mendengar lagi Maha Memahami.

***

Wahai ayah...

Dahulu, saya mempunyai seorang ayah yang sangat prihatin akan soal pendidikan dan agama terhadap anak-anaknya. Saya masih ingat ketika saya di alam prasekolah, ayah pernah mengajar saya dan abang tentang cara membaca dan menyebut huruf al-Quran dengan betul dengan menggunakan komputer sebagai medium. Ketika saya bersekolah rendah, setiap pagi sebelum saya dan abang dihantar ke sekolah (waktu itu hanya saya dan abang yang bersekolah rendah), ayah selalu mengajak kami untuk bersolat Subuh berjemaah bersama-sama. Kemudian, seringkali juga ayah membawa kami ke surau untuk bersolat Maghrib secara berjemaah di sana. Jika ayah tidak berkesempatan, mungkin penat selepas pulang dari tempat kerja, saya yang akan pergi sendiri dengan menunggang basikal. Kadang-kadang, kalau surau di kawasan rumah saya itu mengadakan majlis ilmu pada hujung minggu atau seumpama dengannya, ayah membawa saya sekali untuk menyertai majlis ilmu tersebut. Paling seronok, ayah pernah membawa saya untuk solat Subuh berjemaah di surau setelah selesai sahur dalam bulan Ramadan. Mudah kata, ayah merupakan antara insan yang selalu menghadiri rumah Allah.

Tetapi, itu cerita dulu.

Entah bila saya tak pasti, ayah tidak seperti itu lagi. Ayah dah jarang pergi ke surau atau masjid. Jarang sangat. Atau menurut pemerhatian saya yang dangkal ini, ayah mungkin dah tak pernah pergi langsung. Lebih malang, di rumah pun ayah sudah tidak mengajak ahli keluarga untuk solat berjemaah bersama-sama. Saya pun tidak pasti mengapa ayah saya sudah berubah secara total. Kalau tidak secara total, hampir keseluruhannya ayah saya sudah berubah. Kenapa? Adakah ayah sudah terlalu sibuk dengan kerjaya? Adakah sebab rumah kami terlalu dihinggap kemewahan? Atau adakah bilangan ahli keluarga saya yang ramai menyebabkan ayah seolah-olah tidak mampu memelihara hal ehwal kerohanian anak-anak dengan baik? Sejujurnya, saya memang tidak tahu kenapa. Saya nak bertanya pun tidak berani kerana saya tidak punya kekuatan dan keberanian untuk melakukan sedemikian, hmm.

Wahai emak...

Bercerita mengenai emak pula, emak merupakan seorang yang sangat penyayang terhadap anak-anak. Dah nama pun emak, mestilah emak sangat mengambil berat segala keperluan anak-anaknya. Saya masih ingat ketika saya di alam prasekolah, emak selalu membelikan saya buku-buku latihan dan aktiviti sesuai dengan zaman kanak-kanak saya ketika itu dan emak akan menyemak atau menanda sendiri buku saya. Saya juga tidak segan untuk bersembang atau menyanyi lagu-lagu tadika di hadapan emak. Emak juga pernah memuji saya di hadapan nenek akan kepintaran saya dalam pelajaran. Pendek kata, saya dahulu agak rapat dan boleh bermanja-manja dengan emak ketika saya kecil.

Tetapi, itu cerita dulu.

Semakin saya membesar, saya sudah tidak dapat lagi merasai belaian dan kemanjaan daripada emak saya. Saya yang tidak rapat dengan emak atau emak yang tidak rapat dengan saya, saya tidak pasti. Semacam ada satu benda atau peristiwa dalam hidup yang membuatkan saya berasa hubungan saya dengan emak renggang. Emak sering saja memarahi saya daripada menegur dan menasihati saya dengan cara yang lembut. Saya sudah tidak dapat bermanja lagi dengan emak. Saya hanya memperoleh kasih sayang emak melalui masakan emak sahaja.


***

Wahai emak dan ayah...

Saya berfikir, apakah semua perkara ini semuanya berpunca daripada salah saya? Adakah sebab saya dahulu bersekolah asrama menyebabkan saya jarang bersama keluarga di rumah? Tak juga. Hmm, mungkin saya sudah banyak melukai hati emak dan ayah, tetapi sejujurnya saya keliru dan tidak tahu. Saya pernah terbaca sebuah artikel yang bercerita mengenai ibu bapa yang derhaka kepada anak-anak. Bukan anak-anak sahaja yang boleh derhaka kepada ibu bapa, malah ibu bapa juga boleh bersikap sedemikian kepada anak-anak apabila hak anak-anak tidak dipenuhi sepenuhnya sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Tetapi, tergamakkah saya melabel emak dan ayah saya seperti itu?

Saya bersyukur emak dan ayah menghantar saya ke sekolah agama bermula dari zaman prasekolah lagi, tetapi bukan itu saja yang saya mahu. Saya juga mahukan emak dan ayah menjalani kehidupan beragama. Saya tidak mahu segala kemewahan dan harta benda sebagai simbolik kasih sayang. Saya cuma mahu akan kasih sayang. Cukuplah emak dan ayah memenuhi hak saya sebagai seorang anak yang sangat dahaga akan kasih sayang, hakikatnya. Lebih-lebih lagi apabila usia saya yang sudah meningkat remaja dan belia ini, saya mahu akan emak dan ayah melayan saya seperti seorang sahabat yang boleh saya bergurau senda serta meluahkan dan menceritakan masalah saya, bukan hanya menganggap saya sebagai seorang anak kepada emak dan ayah, lebih-lebih lagi menganggap saya sebagai anak kecil yang masih boleh dimarahi tanpa mendapat penjelasan yang sepatutnya. Saya akui, saya ini memang tidak berani untuk meluahkan perkara yang sebenar kepada mereka jika perkara yang mereka marahkan itu bertentangan dengan hakikat sebenar. Nak buat macam mana, kalau hendak bagi penjelasan pun, pasti akan dipangkah semula seolah-olah langsung tidak memberi peluang untuk saya membuat pembelaan dan menafikan hak untuk saya bersuara membuatkan saya banyak mendiamkan diri serta melahirkan jiwa penakut dan naif dalam diri saya. Emak dan ayah ibarat kuasa veto di rumah. Kenapa anak-anak saja yang sering dianggap salah? Kenapa jarang sekali emak dan ayah koreksi diri?

Oleh kerana itulah, saya hanya punya abang yang boleh dijadikan kawan atau sahabat saya di rumah yang boleh saya bertukar-tukar cerita, bukan dengan emak atau ayah. Namanya Yaqut. Itupun kalau abang saya Yaqut ada di rumah. Kalau tiada? Hmm, walaupun saya boleh dianggap sudah besar, tetapi saya juga masih mahu bermanja-manja dengan emak dan ayah seperti ketika saya masih kecil. Bermanja-manja bukan dengan cara kanak-kanak, tetapi bermanja-manja yang sesuai dengan umur remaja saya ini. Sebab itu saya berasa sangat cemburu, ya, cemburu gila apabila melihat atau pun mendengar kisah daripada sahabat-sahabat dan orang lain yang sangat rapat dengan emak dan ayah mereka. Emak dan ayah ibarat kawan karib mereka. Malangnya, saya langsung tidak memperoleh peluang seperti itu! Saya hanyalah sekadar anak kepada emak dan ayah, bukan sebagai sahabat. Tidak tahulah kalau tekaan saya salah, tetapi itu yang saya rasa dan alami sekarang ini. Adakah adik-beradik saya pun menanggung kesengsaraan yang sama seperti saya? Entahlah, saya pun tidak pasti.

Emak dan ayah...

Seperkara lagi, mungkin salah saya kerana saya sering melakukan kerja-kerja rumah tanpa pengetahuan emak dan ayah. Memang sikap saya begitu; tidak suka melakukan sesuatu kerja sambil dilihat atau dipaksa orang. Kalau tiba-tiba suatu hari itu saya mungkin tersilap dengan menangguhkan dahulu atau terlupa untuk melakukan kewajipan di rumah, masa-masa macam itu jugalah emak dan ayah memarahi saya dengan mengatakan bahawa saya tidak melakukan apa-apa kerja apabila saya berada di rumah. Hanya tahu makan, minum, tidur, main komputer, keluar rumah, pergi masjid, tu je. Nak buat macam mana, kalau hendak diceritakan, takut. Kalau diceritakan pula, nanti kena pangkah semula. Jadi, lebih baik saya mendiamkan diri walaupun Tuhan tahu betapa terseksanya jiwa batin saya menahan perasaan ini, hmm. Saya cuma mahu emak dan ayah mempunyai kepercayaan dan bersikap supportive terhadap saya, bukan hanya condemn dan memandang rendah keupayaan saya. Kadang-kadang hendak keluar rumah pun saya akan selalu berasa serba salah dan berfikir seribu kali untuk memohon keizinan daripada emak dan ayah kerana kalian selalu tidak percaya akan saya atau mungkin terlalu risau akan keselamatan saya sehingga menyebabkan saya selalu berasa terkongkong apabila berada di rumah. Kalau tak minta izin, nanti jadi anak derhaka pula, hmm. Serba tak kena betul. Saya juga mahu kan kebebasan. Saya mahu meneroka dunia luar. Dunia saya bukan hanya di hadapan komputer. Sebab itu saya selalu berazam dan berdoa untuk cepat-cepat memperoleh kereta sendiri supaya saya tidak perlu menyusahkan emak dan ayah untuk meminjam kenderaan kalian. Ya Allah, tak tahulah nak kata apa lagi :'(

***

Ya Allah, maafkan saya kerana terpaksa menulis catatan ini. Sudah lama saya memendam perasaan ini. Tapi percayalah, saya bersyukur dilahirkan dalam keluarga ini kerana itu ialah ketentuan-Mu. Hakikatnya, saya sayang dan cinta akan emak dan ayah saya. Saya rindu akan emak dan ayah yang dahulu. Saya cuma mahukan keluarga ini dilimpahi roh dan sinar Islam seperti yang pernah saya rasakan dahulu. Saya takut kalau saya tidak sampaikan dakwah dan pengetahuan yang saya miliki ini kepada emak dan ayah, kalian akan mendakwa saya di akhirat nanti. Dalam surah 'Abasa ada cerita benda ini. Saya takut! Saya mahu ke syurga sambil memimpin tangan emak dan ayah. Walau macam mana pun emak dan ayah, emak dan ayah tetap emak dan ayah kandung yang sangat berjasa dan telah memelihara serta membesarkan saya dan adik-beradik sejak kecil hingga kini. Saya hanya mampu berharap dan memohon kepada-Mu ya Allah, berikanlah hidayah-Mu kepada kami agar keluarga Muslim yang kami impikan menjadi kenyataan. Kasihanilah emak dan ayah saya sebagaimana mereka mengasihani saya sewaktu kecil. Saya cuma berharap agar saya mampu menjadi anak yang terbaik dan mampu menonjolkan akhlak yang mulia kepada emak dan ayah agar saya tidak menjadi fitnah kepada agama disebabkan perbuatan saya yang mungkin mengguris hati emak dan ayah. Ya Allah, bantulah hamba-Mu yang lemah lagi hina ini, ameen T-T

Ikhlas,
Anakmu yang nakal,
Marjan.

Nota kaki:
Kan dah kata jangan baca. Kisah ini tiada kaitan pun dengan yang telah hidup atau yang sedang mati.

Isnin, 13 Oktober 2014

#131 - BE PRODUCTIVE MUSLIMS!


Kebanyakan pemuda atau belia berfikir bahawa "satu-satunya cara untuk aku memberikan manfaat kepada Islam ialah melalui akademik, atau satu-satunya cara untuk aku melakukan sesuatu demi Islam adalah dengan menjadi seorang da'ie superstar, hoyeah! Aku kena pergi ke Universiti al-Azhar, aku kena pergi ke Universiti Islam Madinah, aku kena pergi ke universiti sekian-sekian, universiti itu, universiti ini, dan tamatkan PhD aku..."

Err, sekejap. Tahukah kalian, bukan semua orang ditakdirkan untuk menjadi seorang sarjana atau ilmuwan, dan satu fakta yang kalian perlu tahu ialah, majoriti sahabat Rasulullah SAW juga bukanlah seorang sarjana atau ilmuwan.

Majoriti sahabat Rasulullah bukan merupakan seorang perawi hadis.
Majoriti sahabat Rasulullah bukan merupakan seorang yang faqih mengenai hukum halal dan haram.
Tetapi yang menariknya, mereka (para sahabat Rasulullah SAW) kesemuanya berada dalam kedudukan dan darjat yang sangat tinggi di sisi Allah SWT!

***

Saya fikir, hal ini merupakan antara salah faham yang terbesar dalam kalangan pemuda Islam kita pada hari ini. Kita berfikir bahawa seorang pemuda yang beriman dan bertaqwa, satu-satunya cara yang boleh dilakukan untuk membawa faedah kepada Islam adalah dengan mendedikasikan seluruh hidup kita hanya untuk akademik semata-mata. Tetapi kadang-kadang, akan berlaku beberapa perkara dalam hidup seperti ibu bapa memerlukan kita, kita perlu bernikah, kita akan memperoleh pekerjaan, dan lain-lain perkara yang mungkin menghalang kita daripada pergi dan belajar mengenai akademik Islam. Lalu, kita mengambil keputusan untuk menjalani kehidupan seharian dengan penuh lesu (lackadaisical), tidak Islamik, dan berasakan bahawa kita tidak punya apa-apa untuk Islam. Sebab apa? Sebab kita telah berfikir bahawa "aku tak mampu untuk pergi ke al-Azhar, aku tak mampu untuk pergi ke Madinah, jadi aku hanya mampu menjalani hidup secara biasa-biasa (mediocre) je la..."

Ehem, nasihat saya untuk golongan yang berfikiran seperti ini:

Kalau kalian tidak mampu untuk menjadi seorang sarjana atau ilmuwan sekalipun, itu tidak bermakna bahawa kalian tidak boleh berbuat apa-apa untuk Islam. Demi Allah! Golongan sarjana memerlukan golongan yang bukan sarjana, dan golongan sarjana juga memerlukan golongan sarjana daripada bidang yang lain. Jika kalian tak mampu untuk menjadi seorang yang pakar dalam bab keilmuan Islam, jadilah pakar dalam bidang-bidang yang lain, hatta pakar dalam bidang-bidang sosial dan kemasyarakatan, pakar dalam pembinaan masjid, pakar dalam sesuatu kemahiran, dan apa-apa jua kepakaran sekalipun. Lakukan sesuatu yang produktif dan praktikal, asalkan perkara tersebut halal dan bisa meraih keredaan daripada-Nya.

***

Percayalah! Saya, kalian, dan setiap daripada kita; masing-masing punya fungsi dan peranan tersendiri yang boleh digunakan untuk kebaikan Ummah. Sebahagian daripada peranan tersebut akan bersifat lebih umum (public) daripada peranan yang lain, tetapi tidak bermakna peranan-peranan itu adalah yang terbaik pada pandangan Allah SWT. Jutaan manusia lain yang melakukan pekerjaan yang tidak bersifat umum; pada pandangan-Nya mungkin adalah jauh lebih baik daripada pekerjaan yang bersifat umum dan mendapat perhatian manusia. Hal ini yang demikian kerana, mereka melakukan pekerjaan tersebut jauh daripada kekotoran dan kebusukan penyakit riya' (show off). Mereka melakukannya di sebalik tabir! Mereka membina sekolah dan masjid, mereka memberi makan kepada anak-anak yatim dan golongan gelandangan, mereka melakukan kerja-kerja amal, dan lain-lain perkara yang mereka mengkhususkan diri di dalamnya.

Apa-apa saja yang kalian lakukan, selagi perkara tesebut kalian lakukan hanya semata-mata kerana Allah, kalian bersikap aktif dan produktif; jangan hilang arah jika sesuatu bidang pengkhususan itu bukan milik kalian. Banyak lagi bidang lain yang kalian boleh melibat serta mengkhususkan diri di dalamnya, insya-Allah ~

#BeProductive !

Sabtu, 24 Mei 2014

#130 - PASUM, AKU DATANG!


Wahai diri
Acapkali dalam perjalanan ini
Kakimu tersadung akar dan terpijak duri
Tanpa disedari
Jernih air mata mungkin jua mengalir di pipi

Namun diri
Kau harus sentiasa mengerti
Bahawa setiap yang jatuh perlu bangkit kembali
Dan setiap yang luka pasti boleh diubati

Ingatlah diri
Perjalanan masih panjang lagi
Perjuangan mesti diteruskan kembali
Berbekalkan semangat dan kecekalan di dalam hati
Ayuh, teruskan berlari!
Kejarlah mimpi!
Gapailah sang mentari!

Hingga tiba saatnya nanti
Pabila kau sudah di destinasi
Kau disambut oleh penghuni langit tinggi
Dengan penuh sukacita dan riang hati
Untuk bertemu Rabbul Izzati
Dengan imanmu bertapa di dalam hati

Kau pun sedari
Ternyata benarlah janji Rabbi
Bahawa setiap kesusahan ini
Pasti ada kemudahannya nanti
Pasti ada balasannya di lain hari
Lalu kau pun tersenyum sendiri
Bersyukur atas nikmat maha agung ini
Sambil kaki melangkah pergi
Menuju ke syurga-Nya yang kekal abadi~

Hamas Syuja'iy 1435

***

P/S: In syaa Allah, esok (25/5/2014), saya akan menyambung semula pengajian Asasi Pengajian Islam dan Sains selama setahun di PASUM. Doakan saya agar terus sukses dalam jihad ini ya! Jazakumullahu khairan kasira :)

#FarewellMyBelovedHome
#PasumAkuDatang!

Rabu, 21 Mei 2014

#129 - HANGAT! SIAPAKAH MUJADDID PADA ZAMAN INI?


Pernahkah kalian mendengar sabda Rasulullah SAW yang agung ini?

"إِنَّ اللهَ يَبْعَثُ لهذِهِ الأمَّةِ عَلَى رأْسِ كلِّ مائةِ سنةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَها"

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala membangkitkan untuk ummat ini pada hujung setiap seratus tahun, seorang mujaddid terhadap agamanya." (Hadis riwayat Abu Dawud no. 4921, dinilai sohih oleh al-Albani)

Mujaddid di sini bermaksud orang yang memperbaharui atau membaik pulih (reform) umat Islam dalam bentuk kefahaman, keimanan, dan pelaksanaan Islam. Atau dengan kata mudah; mengejutkan orang yang sedang tidur, yang usang diperbaharui, yang lupa diingatkan.

Dikisahkan, tatkala seorang syaikh menceritakan hadis ini kepada anak-anak muridnya, anak-anak muridnya terus bertanya kepada beliau, "Ya syaikh! Siapakah mujaddid pada zaman ini?" Saya pasti bahawa kalian yang membaca artikel ini pasti akan memikirkan soalan yang sama, bukan? Tahu apa jawapan syaikh tersebut?

"Itulah silap kalian! Kalian semua telah pun menerima saja bahawa akan ada seseorang yang akan menjadi mujaddid, seseorang yang akan berada di atas! Kenapa bukan kalian sendiri yang berdoa kepada Allah, 'Ya Allah! Jadikanlah aku mujaddid yang dimaksudkan oleh Nabi pada hujung setiap 100 tahun tersebut'? Kenapa kalian perlu menerima 'mediocrity' - ala, nanti kan ada orang yang akan jadi mujaddid? Kenapa bukan kalian sendiri yang berazam dan bercita-cita untuk merebut tempat tersebut?!"

Murid-muridnya terdiam seribu bahasa. Sambung syaikh itu lagi:

"Ya, saya tahu, kalian cuba nak jadi realistik, 'ala, last-last nanti akan ada seorang je yang jadi mujaddid', betul? Jadi, buat apa perlu bersusah-payah? Tunggu dan lihat je la, kan? Tapi, pernahkah kalian terfikir, jika kalian menetapkan matlamat untuk menjadi 'the all time mujaddid of this century', kemudian berusaha ke arah itu; kita mahu memenangi perlumbaan ini, berlumba-lumba ke arah kebajikan, dan mengisi sisa-sisa hidup untuk memberikan manfaat kepada ummah. Saat kematian menjemput, walaupun kalian tidak dapat menuju ke puncak mujaddid tersebut, kalian pasti telah pun mendaki dengan sangat tinggi!"


"Kata orang, tujulah ke arah bintang, walau kalian hanya bisa berhenti di bulan. Walaupun tak sampai ke arah bintang, tapi sekurang-kurangnya kalian telah mencapai kejayaan dengan begitu cemerlang, iaitu berjaya sampai ke bulan. Walaupun kalian tak berjaya mencapai taraf mujaddid, tapi sekurang-kurangnya kalian telah membawa manfaat kepada ummah, bukan setakat puluhan atau ratusan, malahan mungkin ribuan, jutaan, atau berbilion orang. Ma syaa Allah, kalian telah melakukannya, betul? Dan itulah sebenarnya yang ummah mahukan daripada kalian, daripada kita!"

Terpana sekalian murid mendengar syarahan tuan guru mereka. Masing-masing tunduk membisu, cuba memikirkan dan menghadam kebenaran serta menggali ibrah daripada mutiara katanya yang berharga.

Wahai ikhwah dan akhawat sekalian! Saya nak bertanya kalian beberapa soalan yang mudah. Tapi, saya tak memerlukan jawapan kalian. Jawapan tu kalian simpan sendiri buat pedoman.

Dari mana aku datang?
Apa tujuan aku hidup atas dunia ni? Apa visi aku? Apa sasaran aku?
Ke mana aku akan pergi selepas ini?

Wallahu a'lam.

"NOT EVERY FAILURE IS AN ULTIMATE FAILURE"

Isnin, 19 Mei 2014

#128 - FAREWELL, MY BELOVED GAMES!


Masih saya ingat...

Saya merupakan salah seorang pemain tegar permainan komputer pada suatu masa dahulu. Orang sekarang panggil golongan macam ni gamers. Anda mungkin tertanya, bagaimana bisa saya menjadi salah seorang golongan ini dan bagaimana saya boleh terjebak ke dalamnya, walhal saya ni kan budak baik? Ceh, baik la sangat. (PERINGATAN: Jangan ditiru aksi ini di rumah!)


Masih saya ingat...

Semasa saya berada di alam tadika, saya telah mula belajar menggunakan komputer dengan panduan ayahanda yang tercinta. Komputer rumah ketika itu hanya dikuasai oleh saya, abang, dan adik perempuan saya yang pertama. Tak ada istilah berebut komputer lagi waktu tu (memanglah, baru ada tiga orang adik-beradik masa tu). Biasalah kan, waktu tu pun zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kat Malaysia ni baru nak up. Maka, saya banyak mempelajari ilmu baharu melalui medium komputer yang dipasang cakera padat video (VCD) padanya seperti ilmu al-Quran, sirah para Nabi, bahasa Arab, bahasa Inggeris, tulisan jawi, sains, matematik, dan lain-lain. Tambahan pula, kebanyakan VCD tersebut banyak diselitkan unsur interaktif dan permainan yang sesuai dimainkan oleh kanak-kanak seperti saya pada waktu itu. Jadi, kemungkinan pada masa itulah bermulanya era permainan komputer dalam jiwa maskulin ini, eh.


Masih saya ingat...

Antara permainan komputer bersifat pendidikan yang menjadi kegemaran saya ketika di bangku tadika dan sekolah rendah ialah Game Jawi, Siri Sahabat Rimba, Science Blaster Jr., Chessmaster 5000, dan lain-lain. Tapi, lumrah alam la kot, benda-benda yang bersifat pendidikan ni mana tahan lama minatnya kalau dah ada unsur-unsur lain yang lebih 'lagha' dan menyeronokkan muncul, heh. Bagaimana mungkin tidak?


Masih saya ingat...

Bermain permainan komputer telah menjadi salah satu hobi saya ketika di alam sekolah rendah di samping membaca buku dan menonton televisyen. VCD-VCD games telah muncul dengan berlambaknya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ayah saya juga turut menambah koleksi VCD permainan komputer kepada kami adik-beradik yang telah berjumlah lima atau enam orang pada masa itu. Saya juga pernah membuat pertukaran pinjaman VCD games daripada rakan sekolah saya. Antara permainan yang menduduki carta tertinggi dalam imaginary ranking ciptaan saya ialah MechWarrior, The House of the Dead, F1 Championship Season 2000, Bionicle, Pac-Man All-Stars, dan lain-lain. Tambahan pula, bermain permainan seperti MechWarrior dan Formula 1 lebih mengghairahkan dengan adanya penggunaan kayu ria (joystick). Kalau diingatkan semula memang, pergh. Seronok gila. Selalunya budak-budak lelaki je yang selalu duduk di hadapan komputer ni, budak perempuan a.k.a. adik perempuan saya bukan minat pun. Pernah sekali saya dan abang meminta ayah saya untuk membelikan PlayStation, tetapi tidak dibenarkan. Nasib baik ayah tak belikan, kalau tak, tak taulah apa jadi kat saya sekarang ni, heh.


Masih saya ingat...

Bukan setakat di rumah saya bermain permainan komputer, bahkan ketika saya di sekolah rendah juga. Entah bagaimana dan siapa yang memasang (install) atau memuat turun (download) games pada komputer di dalam makmal komputer sekolah saya. Kadang-kadang ada satu-satu masa tu, kalau ada kelas IT kat sekolah, masuk makmal komputer tapi cikgu ITnya tiada dan diganti dengan cikgu lain, apa lagi, bebaslah nak main apa-apa pun kat komputer tu. Antara permainan yang pernah saya main di makmal komputer ialah Zuma Blast, Diner Dash, dan lain-lain. Setakat games Pinball, Minesweeper, Spider Solitaire, dan lain-lain Windows Games tu tak payah cerita la, semuanya saya sudah pro, eh. Yang paling tak tahannya ialah saya pernah diizinkan oleh guru saya untuk memasuki makmal komputer sekolah dan bermain permainan komputer di dalamnya beberapa hari selepas tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sebenarnya hari itu (tak ingat hari apa) merupakan cuti bagi semua murid darjah enam sekolah saya, tetapi saya tersilap dengan menghadirkan diri ke sekolah pada hari tersebut. Maka, bagi menghilangkan kebosanan, saya meminta izin untuk memasuki makmal dan tak sangka pula diberi layanan istimewa ala-ala very important person (VIP), haha.


Masih saya ingat...

Saya mula mengenali apa itu kafe siber (CC) ketika saya berada dalam darjah enam (kalau tak silap). Pada masa itu, ada sebuah CC yang baru saja ditubuhkan berhampiran rumah saya. Entah macam mana saya boleh ke sana, mungkin diajak oleh kawan kepada adik lelaki saya yang pertama (anak keempat dalam adik-beradik) kot. Pada masa itu jugalah, saya mengenali permainan Counter-Strike, FIFA, dan lain-lain. Walau bagaimanapun, saya hanya melayan Counter-Strike sahaja disebabkan pada waktu itu saya hanya mahu mencuba permainan berunsur tembakan. Saya perhatikan pun banyak orang duk main game ni je kat CC tu. Waktu tu pun minat terhadap permainan komputer bola sepak masih belum bercambah lagi. Jadi, pada saat itulah saya mula meminati Counter-Strike dan telah dimasukkan dalam senarai permainan kegemaran saya, heh. Namun begitu, kehadiran saya bersama abang ke CC tersebut telah terkantoi. Entah macam mana boleh terkantoi tak ingat. Emak saya memarahi dan menasihati saya agar jangan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan, lebih-lebih lagi saya akan bersekolah asrama pada tingkatan satu nanti.


Masih saya ingat...

Saya mula didedahkan dengan alam internet seawal usia 13 tahun (tingkatan satu), zaman saya sudah mula menginjak alam menengah dan mula bersekolah di salah sebuah sekolah berasrama swasta di Perak. Pada mulanya, saya hanya menggunakan internet untuk saling berkomunikasi dengan keluarga yang berada di kejauhan menggunakan emel dengan sambungan internet dial-up connection di kampung. Oh, ya! Kenangan menggunakan sambungan internet jenis ini pada masa itu memang tidak boleh dilupakan kerana betul-betul menguji kesabaran dan iman serta menghabiskan banyak masa saya di hadapan komputer hanya untuk menunggu sehingga laman web habis loading. Walau bagaimanapun, saya masih noob dalam menjadi pengguna internet, jadi saya tidak berasa terganggu sangatlah dengan kelembapan itu. Ok sambung cerita balik. Dengan hanya menggunakan internet untuk menghantar dan membaca emel, saya telah menaik taraf diri saya menjadi pemain permainan komputer secara atas talian (online). Lebih-lebih lagi apabila rumah saya sudah mula dihinggapi dunia internet pada ketika itu dengan pada mulanya menggunakan broadband, kemudian bertukar kepada sambungan Wi-Fi, hoyeah.


Masih saya ingat...

Antara laman web online computer games yang sering saya kunjungi pada suatu masa dahulu ialah Miniclip, Nitrome, dan lain-lain. Ok, itu zaman sebelum saya ada Facebook. Pabila era Facebook sudah bercambah dalam diri ini sekitar akhir tahun 2009, saya mula mengenali dan meminati permainan atau aplikasi yang berada di dalam Facebook pula. Antara permainan Facebook yang pernah menjadi kegemaran saya ialah CityVille, Yakuza Lords, Footy!, Empires VS Allies, dan lain-lain. CityVille tu saya suka sebab game tu berkaitan dengan perancangan dan pembinaan bandar. Biasalah kan, dulu saya pernah berangan nak jadi Khalifah Islamiyyah suatu hari nanti, siap lantik kawan-kawan ada jawatan sendiri pulak. Ada yang jadi Sultan, Perdana Menteri, Gabenor, Mufti, Menteri Pertahanan, sehinggalah kepada gundik diraja, haha. Kadang-kadang, waktu outing hujung minggu kat asrama, saya dan kawan-kawan pergi ke CC untuk online atau pun bermain games. Paling best mestilah zaman selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR), kami pelajar tingkatan tiga selalu keluar dari sekolah tak kira siang mahupun malam semata-mata ingin berjalan-jalan, online, atau bermain games di CC.


Masih saya ingat...

Zaman seusai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan masa lapang yang paling lapang pernah saya ada. Tetapi, saya banyak menghabiskan sisa-sisa masa tersebut dengan online dan bermain games. Lebih-lebih lagi ayah saya telah menghadiahkan saya sebuah komputer riba Windows 8. Lagilah saya seronok bermain. Astaghfirullah. Haha, tapi bukan sepanjang masa saya buat benda tu. Waktu cuti tu la saya dapat lesen memandu dan dapatkan informasi terkini berkenaan kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Ingat PR nak menang dah, tapi Allah masih belum mengizinkan kemenangan PR lagi, hmm. Eh, tukar topik pulak dia! Selain itu, zaman ni kan dah mula zaman iPad, jadi rumah saya pun tak terkecuali daripada menerima tempias tablet tersebut. Kadang-kadang, saya bermain permainan bola sepak "Dream League Soccer" di iPad keluarga saya, hmm.


Masih saya ingat...

Ketika saya sudah menjejakkan kaki ke alam pra-universiti, saya masih lagi bermain permainan komputer. Contohnya, permainan "Top Eleven: Be a Football Manager" dan "UberStrike" yang menggunakan platform Facebook untuk bermain sejak selepas SPM lagi. Saya mula meminati permainan bola sepak sejak saya mengambil tahu perkembangan bola sepak tempatan dan antarabangsa secara serius sejak memulakan persekolahan menengah tinggi di salah sebuah sekolah berstatus Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Kedah walaupun saya sendiri kaki bangku. Entah bagaimana saya boleh terpengaruh dengan sukan ini. Pada zaman pra-universiti ini jugalah, saya mula belajar bermain menggunakan gamepad dan mula terpengaruh dengan permainan Pro Evolution Soccer (PES) yang menjadi kegilaan sahabat-sahabat jejaka saya. Saya turut bermain FIFA Online 3. Saya juga memerhatikan ada sebahagian sahabat saya yang sangat gemar akan permainan DOTA (Defense of the Ancients) atau pun Warcraft. Ada orang gelar DOTA tu "Dunia Orang Tanpa Awek". Haha, whatever. Saya mendapat tahu mengenai DOTA ini ketika berada di alam menengah tinggi. Nasib saya baik kerana saya tidak gemar akan permainan berstatus strategi sebegini dan saya tidak mahu mengambil serius mahupun belajar cara-cara bermain permainan ini.


Masih saya ingat...

Salah seorang pensyarah merangkap guru penasihat majmu'ah (kelas) saya pernah beberapa kali menasihati agar kami sebagai anak-anak muridnya meninggalkan games dan menolaknya 100% kerana beliau tidak mahu kami membuang masa dan melupakan tugas sebenar sebagai khalifah-Nya. Tetapi, saya masih berpegang pada pendapat, "tak apa main game, asalkan jangan leka." Namun, pada hakikatnya memang terleka sungguh pun. Allah. Dan saya masih meneruskan tabiat bermain games sehingga saya menamatkan pengajian setahun Asasi saya, siap beli gamepad sendiri lagi untuk kemudahan saya bermain PES dalam komputer riba saya. Ahha, zaman sekarang pun era telefon pintar, bukan? Jadi, sejak saya ada telefon pintar sendiri ni, lagi mudahlah nak main permainan yang ada versi mobile dia, huh.


Sehinggalah pada suatu hari...

Saya mula terasa kebosanan melayan permainan ini.
Saya mula bermuhasabah.
Saya mula merenung.
Berfikir, menghela nafas panjang-panjang.
Menghembuskannya semula.

Apakah yang telah kuperbuat selama ini?
Apakah yang telah kuhabiskan sepanjang masa muda ini?
Apakah yang telah kusumbangkan untuk Islam?

Berapa banyak masaku terbuang untuknya?
Berapa banyak majlis ilmu yang luput kerananya?
Berapa banyak surah yang aku dah hafal?
Berapa banyak bahasa asing yang telah aku kuasai?

Ya Allah, banyaknya masa muda yang aku buang selain untuk Islam!!!
Ya Allah, banyaknya masa muda yang aku buang selain untuk Islam!!!
Ya Allah, banyaknya masa muda yang aku buang selain untuk Islam!!!


Kesedaran yang mula menyuntik diri ini pun berlaku atas beberapa faktor; pembacaan, rakan, keluarga, pensyarah, pengalaman daripada senior, memerhatikan sendiri isu semasa, globalisasi. Ah, tak tertulis semuanya di sini!

Saya mula berazam. Saya akan mula berhenti bermain permainan komputer mahu pun permainan telefon pintar. Sedikit demi sedikit. Peringkat demi peringkat. Saya akan menunaikan azam saya apabila bermulanya cuti semester nanti. Itulah yang saya sematkan di dalam minda dan hati. Kerana saya sendiri pun sudah berazam akan menghabiskan cuti semester ini dengan aktiviti yang bermanfaat buat diri sebagai persediaan menghadapi dunia luar yang lebih mencabar.

Alhamdulillah, saya mula berjaya. Pada awalnya saya nyahpasang (uninstall) aplikasi permainan dalam telefon pintar saya hanya untuk menjimatkan memori, namun setelah berfikir dua kali, ya, saya perlu buat keputusan.

Saya uninstall semua games yang telah saya download dalam smartphone saya.
Saya hanya tinggalkan permainan yang menguji akal seperi Sudoku dan lain-lain.
Saya delete permainan PES dalam komputer riba saya.
Saya remove permainan yang pernah saya main dalam Facebook.
Saya hanya tinggalkan sedikit memori lama permainan itu seperti album dan lain-lain.
Saya tidak lagi melayan permintaan (request) daripada rakan-rakan Facebook agar saya bermain games.

Saya sudah nekad! Alhamdulillah, sepanjang cuti semester selama lebih kurang tiga bulan ini, saya sudah tidak lagi bermain permainan komputer sama ada secara online atau pun sebaliknya.


Sepanjang saya hidup dengan bermain permainan komputer ini...

Saya dapat melihat karakter dan personaliti saya terbentuk hasil daripada tarbiyah games atau komputer. Haha, ada pulak.
Saya meminati sukan Formula 1.
Saya menggemari alatan menembak. Kadang-kadang saya berangan mahu jadi penembak suatu hari nanti.
Saya menyukai teknologi yang berkaitan dengan perkomputeran.
Saya kurang gemar akan riadah di luar kerana saya suka duduk di hadapan komputer.
Walaupun hakikatnya hobi saya dahulu menunggang basikal.
Saya suka berada atas talian.
Saya suka menonton video dan mendengar lagu di komputer.
Saya suka menaip dan melakukan aktiviti-aktiviti komputer.

Tetapi kini, biarlah sedikit kemahiran saya dalam ilmu perkomputeran ini boleh saya gunakan untuk ummah.
Boleh saya sumbangkan untuk Islam.
Ummah sedang tenat, kan? Ya, saya juga sebahagian daripada ummah!
Segala puji bagi Allah atas hidayah-Nya yang indah ini.


---
Buat anda yang membaca artikel saya, terima kasih saya ucapkan kerana sudi membacanya dengan tekun. Saya harap para pembaca dapat mendoakan saya agar terus kuat dan istiqamah dalam meniti jalan menuju reda-Nya, insya-Allah.

Kini, obsesi dan fitnah (ujian) yang sedang menghantui dan saya takuti ialah internet, muzik, gajet, dan wanita. Huh, dunia akhir zaman. Therefore, please always keep remembering me in your prayers, okay! Farewell, my beloved games!

"Andai masa yang kita habiskan di hadapan televisyen, internet, atau permainan video itu dimanfaatkan untuk menghafaz al-Quran, kita telah menjadi hafiz Quran sejak sekian lama. Andai masa-masa itu digunakan untuk mempelajari bahasa Arab atau Inggeris, kita telah fasih berbicara dan menulis dengan bahasa ini sejak dahulu."

#127 - SUDAH PASTI


Hoyeah!

Eh, silap!

Bismillah. Assalamualaikum warahmatullah ^_^

Alhamdulillah, tarikh kemasukan / pendaftaran pelajar Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIDS) sesi 2013-2015 ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) telah pun muktamad dan sudah pasti, iaitu pada hari Ahad, 25 Mei 2014. Maklumat ini telah disampaikan oleh salah seorang sahabat akhawat saya di dalam group APIDS pada 16 Mei 2014 yang lalu setelah berurusan dengan pihak pejabat / lajnah Sains Gunaan dan Pengajian Islam (SGPI) atau dalam bahasa Inggerisnya Applied Science and Islamic Studies (ASIS). Depa ni la kepala yang uruskan APIDS ni. Nampak kan kami special sebab ada keluarga besar kat sini? Rugi ampa tak pilih APIDS waktu isi UPU dulu, huahua.

Berikut ialah maklumat lanjut berkenaan pendaftaran kami:-

1. 25 Mei 2014 (Ahad)

Ya, tarikh ini sudah pasti. Kalau diikutkan sepatutnya APIDS mendaftar pada 24hb Mei tetapi disebabkan APIDS tiada program yang perlu dihadiri pada 24hb tersebut, maka SGPI/ASIS memutuskan agar APIDS mendaftar pada 25hb Mei. Jadi, pelajar APIDS tiadalah perlu membuang masa sehari pada 24hb tersebut. Tambahan pula, APIDS tidak perlulah bersesak-sesak dengan 2000 lebih pelajar PASUM sesi 2014/2015 yang mendaftarkan diri pada 24hb Mei itu. Kesimpulannya, SGPI/ASIS memilih tarikh 25hb bagi memudahkan APIDS, Alhamdulillah.

2. Jadual Minggu Haluan Siswa (MHS) APIDS

Berikut ialah jadual program bagi MHS di PASUM nanti. Klik sini. Semua aktiviti yang tertera dalam jadual tersebut wajib dihadiri oleh warga APIDS dan pihak SGPI/ASIS telah mengasingkan awal-awal program PASUM yang tidak perlu dihadiri. Mana-mana aktiviti yang telah dihighlightkan dengan warna kuning ialah aktiviti yang perlu disertai oleh warga APIDS sahaja di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur.

3. Adakah pihak SGPI/ASIS akan menghubungi semua pelajar APIDS seperti yang dimaklumkan sebelum ini?

Tak pasti sebab takut depa tak sempat nak call semua.

4. Bila boleh dapat surat 'cinta' UM?

APIDS akan dapat surat tersebut waktu hari pendaftaran (25/5/14). Jadi, tak perlulah menunggu dengan penuh harapan di hadapan peti surat nanti, ya!

5. Bayaran?

Nanti depa confirm semula dengan pihak kewangan. Kalau diikutkan tahun-tahun sebelum ini, APIDS tak perlu bayar yuran Haluan Siswa. APIDS makan sendiri. Err.

***

Ok, setakat ini sajalah maklumat untuk sahabat-sahabat APIDS sekalian. Perkembangan lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Wassalam!



UPDATED! (20/5/2014)

6. Yuran?

Details:
- Yuran Jawatankuasa Kolej = RM50
- Yuran penginapan kolej selama lima hari = RM50 (semasa minggu haluan siswa)
- Yuran penginapan semasa pengajian = Tolak daripada biasiswa nanti
- Yuran makanan = RM6.50 x 5 hari

JUMLAH KESELURUHAN = RM132.50

7. Item yang perlu dibawa?

- Gambar berukuran pasport (6 keping)
- Salinan sijil SPM (1 helai)
- Salinan keputusan MUET (1 helai)


***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA