Khamis, 20 November 2014

#133 - AYAHKU SEORANG YANG 'LIBERAL'...


"Nanti kamu degree nak sambung course apa?"

Kereta Mercedes milik ayah meluncur laju memecah keheningan pada malam itu. Sambil memandu, ayah meluangkan masa untuk bersembang dan bertanya khabar perihal saya mengenai pembelajaran akademik di universiti, lebih-lebih lagi saya masih bergelar pelajar Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIDS), satu-satunya asasi yang mempunyai gabungan pengajian dalam kedua-dua bidang tersebut.

"Insya-Allah, sambung Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat (IT). Double major degree," saya menjawab pertanyaan ayah. "Emm, IT tu dalam bidang apa?" tanya ayah lagi. "Mungkin multimedia atau pengurusan kot. Apa entah nama dia," saya menjawab kembali. "Hah? Multimedia? Tak payahlah ambil multimedia, dah banyak sangat dah orang ambil course tu, nanti nak cari kerja pun susah," cadang ayah. Seperti biasa, ayah sering mengaitkan kursus yang dipilih oleh anaknya dengan pekerjaan, padahal saya sendiri sebenarnya tidak berapa kisah pun pekerjaan apa yang akan saya mohon nanti.

"Ayah suggest baik kamu ambil IT dalam bidang software engineering ke, luas apa bidang tu, macam-macam boleh apply dengan software engineering. Nak buat apps dalam Android ke. Ni, GPS yang ayah tengah guna ni pun semua pakai software engineering jugak," kata ayah sambil menunjukkan global positioning system (GPS) atau sistem kedudukan sejagat miliknya di hadapan kereta. Saya hanya mendiamkan diri, merenung sambil berfikir kembali, apakah terdapat bidang software engineering dalam kursus double major Pengajian Islam dan IT yang akan saya mohon untuk pengajian sarjana muda saya bermula September depan. Entahlah, rasa macam tak ada, heh.

Sambil meneruskan pemanduan, ayah memasang CD Qasidah bagi menghilangkan kesunyian malam. Kemudian, ayah bertanya lagi, "dengar cerita qasidah ni dibuat oleh syiah, sebab ada liriknya yang terlampau memuji dan memuja Nabi, betul ke?" Saya berfikir lalu menjawab, "emm, rasanya tak pernah dengar pulak, tapi yang Muhaimin tahu ada je sesetengah liriknya yang memang macam tu, terlampau mengagung-agungkan Nabi." "Itulah, kalau nak puji Nabi pun, janganlah puji lebih-lebih sangat, seolah-olah macam Nabi ada segala kuasa ajaib untuk alam," kata ayah. Saya pun mengiyakan. Benar, Nabi SAW sendiri pun tidak suka jika ada umatnya yang terlampau mengagung-agungkan baginda. Saya pun terlupa bagaimana matan hadis tersebut. Selepas itu, ayah menduga saya lagi, "agak-agak kan, tahu tak kenapa selepas selesai misi dakwah Nabi dalam menyebarkan Islam selama 23 tahun, Allah terus wafatkan Nabi dalam usianya yang masih 63 tahun? Sebab kalau umur Nabi masih panjang, akan ada orang yang menganggap Nabi macam Tuhan lalu menyembahnya." Ok, pertama kali dalam hidup saya mendengar maklumat seperti ini.

"Err, tapi waktu sebelum Nabi diwafatkan, kan Nabi diberi pilihan oleh malaikat sama ada hendak dipanjangkan umur atau bertemu Allah? Nabi pilih hendak bertemu Allah sebab Nabi dah rindu nak bertemu dengan kekasih abadinya," celah saya. "Yalah, Nabi pilih nak wafat sebab Nabi pun tahu, kalau umurnya dipanjangkan, pasti akan ada umatnya yang taksub akan menyembahnya," jelas ayah. Saya terdiam. "Tengok sajalah waktu zaman Nabi, orang Arab ni ada yang jenis taksub sikit, sampai kencing Nabi pun ada orang sanggup minum," tambah ayah lagi sambil ketawa. Saya hanya mampu tersenyum. Entahlah, mungkin ada benarnya kata-kata ayah, tetapi setakat yang saya tahu, mereka melakukan sedemikian disebabkan perasaan cinta dan kasih mereka yang sangat tinggi terhadap Nabi SAW. Wallahu a'lam.

Perbincangan pada malam itu meleret hingga sampai ke topik berkaitan ibadah dan sebab ibadah ditunaikan. Kini, ayah bertanya soalan yang agak 'panas' pula, "Muhaimin tahu tak? Kenapa kita kena solat, tunaikan zakat, puasa, dan lain-lain? Kenapa semua ibadat tu perlu dilakukan?" Ok, ayah memang sengaja mahu menduga saya. "Adakah ibadat yang kita lakukan ini hanya semata-mata sebab nak dapat pahala? Adakah pahala itu tujuan utama ibadat dikerjakan?" sambung ayah lagi. Saya merenung panjang, kemudian saya menjawab, "bukan, tujuan utama bukan pahala yang kita nak, tapi yang paling utama ialah kita nak kan keredaan Allah tu. Allah perintahkan kita melakukan ibadat sebab semua ibadat tu ialah keperluan hidup kita juga sebenanrya. Allah pernah kata, Dia tak rugi apa-apa, sebaliknya kita yang rugi kalau kita ingkar akan suruhan-Nya." Hoho, panjangnya saya jawab, getus saya dalam hati. Ayah hanya tersenyum. Kemudian, ayah bersuara, "Pernah dengar tak hadis pasal Aisyah RHA yang melihat Nabi SAW bersusah-payah beribadat sampai bengkak-bengkak kakinya? Tahu apa Nabi jawab?" "Tak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?" saya menyambung dengan bangga, heh. "Ha, nampak kan? Taraf Nabi tu jawab macam tu, beribadat sebab bersyukur! Kita?" ayah menimbulkan persoalan. Saya terdiam, berfikir mungkin.

"Jadi, apa fungsi pahala tu sebenarnya?" duga ayah lagi. "Pahala tu macam motivasi untuk kita melakukan kebaikan la, macam ayah yang janji akan bagi hadiah kat anak kalau anaknya cemerlang dalam peperiksaan. Nanti anaknya pun akan bersemangat untuk terus belajar dengan gigih bagi mendapatkan apa-apa yang diinginkan," jawab saya. "Ya, tapi pahala bukan tujuan utama kita beribadat. Hanya sekadar motivasi. Kena ingat tu," kata ayah. Saya hanya mengiyakan.

"Muhaimin cubalah tanya ustaz-ustaz kat universiti tu, kat mana-mana ke, cuba timbulkan persoalan yang berat-berat ni, tengok diorang boleh jawab ke tak. Diorang dah bertahun-tahun belajar agama takkan tak boleh jawab. Kita belajar ni pun kenalah berfikir. Bukankah Allah dah suruh kita berfikir? Apa dalam bahasa Arabnya?" tanya ayah. "Afala tatafakkarun," saya menjawab. "Ya, afala tatafakkarun, tidakkah kamu berfikir? Maknanya, Allah suruh kita berfikirlah tu, jangan ikut secara membuta tuli je apa-apa yang kita belajar dan apa yang diajar." jelas ayah. Saya mengangguk perlahan. Ayah pun ada kata, ada beza antara orang yang berilmu dan orang yang bijaksana. Semua orang boleh jadi berilmu, tapi tidak semua orang boleh memperoleh kebijaksanaan.

Sambung ayah lagi, "kita pun kena jadi liberal, berfikiran liberal, maknanya berfikiran merdeka, bebas daripada dikongkong. Barulah fungsi akal digunakan sebaiknya." Seketika, saya berdebar. Wow, ayah saya sudah memasuki topik liberal! Perbincangan bakal bertambah menarik malam ini. "Liberal tu maksudnya bebas kan. Maksudnya, kita perlu berfikiran liberal, tapi jangan gaya hidup macam orang liberal pulak," jelas ayah sambil ketawa sekali lagi. Ya, saya faham maksud ayah. Fikiran kita yang perlu liberal, bukan gaya hidup seperti liberalis yang tidak mahu dikongkong dengan kehidupan beragama yang kononnya dianggap sempit dan menyusahkan. Allahu, banyak ilmu dan hikmah yang saya peroleh pada malam itu.

Sebagai amanat terakhir sebelum kami tiba di perkarangan Universiti Malaya (UM), ayah menyampaikan pesanan, "Muhaimin sangat beruntung dapat belajar dalam bidang ni, boleh dapat dua-dua sekali (Islam dan Sains). Ayah dulu bukan boleh dapat peluang macam ni. Ayah belajar agama dulu pun kena cari sendiri; beli buku-buku dan kitab-kitab agama, dengar ceramah macam ustaz Nik Aziz, ..." "join usrah..." saya mencelah. Ayah mengangguk. "Ya, join usrah. Haaa, macam tu la ayah belajar agama dulu. Muhaimin pun belajar kat UM kan, antara tempat yang sangat bagus untuk mendapatkan pengalaman berharga. Jadi, jangan lepaskan peluang ni," pesan ayah lagi.

Benar, ayah dahulu pernah menyertai usrah kerana ayah dahulu mengambil pengajian sarjana muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal di University of Missouri Rolla, Missouri, Amerika Syarikat. Dan kerana itulah ayah punya sedikit sebanyak ilmu pengetahuan Islam yang saya kira agak mantap yang boleh dikongsikan bersama anak-anak beliau. Ayah juga berfikrah Islam dan tidak dilupakan juga... berfikiran liberal, heh. Syukur saya punya ayah seperti ini.

"Ok, ayah. Doakan Muhaimin ya dalam pengajian asasi saya ni!" saya mencium tangan dan pipi ayah sebelum saya kembali ke kolej meninggalkan ayah bagi memulakan semester keempat (semester terakhir) dalam pengajian APIDS saya. Saya mendapat suntikan baru dalam perjuangan menuntut ilmu kerana-Nya. Insya-Allah, teruskan melangkah!

Jumaat, 7 November 2014

#132 - DI SEBALIK RUMAH YANG BESAR ITU...

Gambar hiasan

Nota kepala: Jangan baca. Kisah ini tiada kaitan dengan yang telah hidup atau yang sedang mati.

Alkisah, di sebuah teratak besar yang terletak di puncak bukit saujana mata memandang, tinggal di dalamnya seorang anak teruna. Umurnya masih belasan tahun. Oh ya, nama mamat tersebut Marjan. Ya, sayalah itu.

Saya punya kedua-dua orang tua yang diberikan rezeki kekayaan oleh-Nya dan saya bersyukur diberikan kenikmatan dan kemewahan hidup sebegini. Namun hakikatnya, hati saya tidak sebesar rumah yang saya diami, tidak sekaya harta benda yang saya miliki. Jiwa saya kosong, perasaan saya sentiasa ingin memberontak. Meluap-luap minta disuapkan santapan kasih sayang dan perhatian kerna sudah lama dibiarkan lapar dan dahaga sebegini. Tetapi, saya tidak mampu bersuara minta diperlakukan seperti itu. Jadi, cukuplah catatan ini sebagai pelepas geram dan perindu dendam yang entah sampai bila mahu terlunas.


Hmm, mungkin catatan ini tidak patut ditulis. Ya, saya tidak memaksa pun kalian untuk membacanya, dan memang tidak patut pun untuk kalian membacanya, kerana catatan ini tiada kepentingan langsung untuk kalian mentelaahnya. Catatan ini hanyalah sebagai luahan peribadi di alam maya semenjak saya tidak mempunyai sesiapa lagi di rumah sebagai tempat untuk saya bermanja, berkongsi segala masalah, bergurau senda, dan bercerita mengenai kehidupan melainkan Allah SWT yang Maha Mendengar lagi Maha Memahami.

***

Wahai ayah...

Dahulu, saya mempunyai seorang ayah yang sangat prihatin akan soal pendidikan dan agama terhadap anak-anaknya. Saya masih ingat ketika saya di alam prasekolah, ayah pernah mengajar saya dan abang tentang cara membaca dan menyebut huruf al-Quran dengan betul dengan menggunakan komputer sebagai medium. Ketika saya bersekolah rendah, setiap pagi sebelum saya dan abang dihantar ke sekolah (waktu itu hanya saya dan abang yang bersekolah rendah), ayah selalu mengajak kami untuk bersolat Subuh berjemaah bersama-sama. Kemudian, seringkali juga ayah membawa kami ke surau untuk bersolat Maghrib secara berjemaah di sana. Jika ayah tidak berkesempatan, mungkin penat selepas pulang dari tempat kerja, saya yang akan pergi sendiri dengan menunggang basikal. Kadang-kadang, kalau surau di kawasan rumah saya itu mengadakan majlis ilmu pada hujung minggu atau seumpama dengannya, ayah membawa saya sekali untuk menyertai majlis ilmu tersebut. Paling seronok, ayah pernah membawa saya untuk solat Subuh berjemaah di surau setelah selesai sahur dalam bulan Ramadan. Mudah kata, ayah merupakan antara insan yang selalu menghadiri rumah Allah.

Tetapi, itu cerita dulu.

Entah bila saya tak pasti, ayah tidak seperti itu lagi. Ayah dah jarang pergi ke surau atau masjid. Jarang sangat. Atau menurut pemerhatian saya yang dangkal ini, ayah mungkin dah tak pernah pergi langsung. Lebih malang, di rumah pun ayah sudah tidak mengajak ahli keluarga untuk solat berjemaah bersama-sama. Saya pun tidak pasti mengapa ayah saya sudah berubah secara total. Kalau tidak secara total, hampir keseluruhannya ayah saya sudah berubah. Kenapa? Adakah ayah sudah terlalu sibuk dengan kerjaya? Adakah sebab rumah kami terlalu dihinggap kemewahan? Atau adakah bilangan ahli keluarga saya yang ramai menyebabkan ayah seolah-olah tidak mampu memelihara hal ehwal kerohanian anak-anak dengan baik? Sejujurnya, saya memang tidak tahu kenapa. Saya nak bertanya pun tidak berani kerana saya tidak punya kekuatan dan keberanian untuk melakukan sedemikian, hmm.

Wahai emak...

Bercerita mengenai emak pula, emak merupakan seorang yang sangat penyayang terhadap anak-anak. Dah nama pun emak, mestilah emak sangat mengambil berat segala keperluan anak-anaknya. Saya masih ingat ketika saya di alam prasekolah, emak selalu membelikan saya buku-buku latihan dan aktiviti sesuai dengan zaman kanak-kanak saya ketika itu dan emak akan menyemak atau menanda sendiri buku saya. Saya juga tidak segan untuk bersembang atau menyanyi lagu-lagu tadika di hadapan emak. Emak juga pernah memuji saya di hadapan nenek akan kepintaran saya dalam pelajaran. Pendek kata, saya dahulu agak rapat dan boleh bermanja-manja dengan emak ketika saya kecil.

Tetapi, itu cerita dulu.

Semakin saya membesar, saya sudah tidak dapat lagi merasai belaian dan kemanjaan daripada emak saya. Saya yang tidak rapat dengan emak atau emak yang tidak rapat dengan saya, saya tidak pasti. Semacam ada satu benda atau peristiwa dalam hidup yang membuatkan saya berasa hubungan saya dengan emak renggang. Emak sering saja memarahi saya daripada menegur dan menasihati saya dengan cara yang lembut. Saya sudah tidak dapat bermanja lagi dengan emak. Saya hanya memperoleh kasih sayang emak melalui masakan emak sahaja.


***

Wahai emak dan ayah...

Saya berfikir, apakah semua perkara ini semuanya berpunca daripada salah saya? Adakah sebab saya dahulu bersekolah asrama menyebabkan saya jarang bersama keluarga di rumah? Tak juga. Hmm, mungkin saya sudah banyak melukai hati emak dan ayah, tetapi sejujurnya saya keliru dan tidak tahu. Saya pernah terbaca sebuah artikel yang bercerita mengenai ibu bapa yang derhaka kepada anak-anak. Bukan anak-anak sahaja yang boleh derhaka kepada ibu bapa, malah ibu bapa juga boleh bersikap sedemikian kepada anak-anak apabila hak anak-anak tidak dipenuhi sepenuhnya sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Tetapi, tergamakkah saya melabel emak dan ayah saya seperti itu?

Saya bersyukur emak dan ayah menghantar saya ke sekolah agama bermula dari zaman prasekolah lagi, tetapi bukan itu saja yang saya mahu. Saya juga mahukan emak dan ayah menjalani kehidupan beragama. Saya tidak mahu segala kemewahan dan harta benda sebagai simbolik kasih sayang. Saya cuma mahu akan kasih sayang. Cukuplah emak dan ayah memenuhi hak saya sebagai seorang anak yang sangat dahaga akan kasih sayang, hakikatnya. Lebih-lebih lagi apabila usia saya yang sudah meningkat remaja dan belia ini, saya mahu akan emak dan ayah melayan saya seperti seorang sahabat yang boleh saya bergurau senda serta meluahkan dan menceritakan masalah saya, bukan hanya menganggap saya sebagai seorang anak kepada emak dan ayah, lebih-lebih lagi menganggap saya sebagai anak kecil yang masih boleh dimarahi tanpa mendapat penjelasan yang sepatutnya. Saya akui, saya ini memang tidak berani untuk meluahkan perkara yang sebenar kepada mereka jika perkara yang mereka marahkan itu bertentangan dengan hakikat sebenar. Nak buat macam mana, kalau hendak bagi penjelasan pun, pasti akan dipangkah semula seolah-olah langsung tidak memberi peluang untuk saya membuat pembelaan dan menafikan hak untuk saya bersuara membuatkan saya banyak mendiamkan diri serta melahirkan jiwa penakut dan naif dalam diri saya. Emak dan ayah ibarat kuasa veto di rumah. Kenapa anak-anak saja yang sering dianggap salah? Kenapa jarang sekali emak dan ayah koreksi diri?

Oleh kerana itulah, saya hanya punya abang yang boleh dijadikan kawan atau sahabat saya di rumah yang boleh saya bertukar-tukar cerita, bukan dengan emak atau ayah. Namanya Yaqut. Itupun kalau abang saya Yaqut ada di rumah. Kalau tiada? Hmm, walaupun saya boleh dianggap sudah besar, tetapi saya juga masih mahu bermanja-manja dengan emak dan ayah seperti ketika saya masih kecil. Bermanja-manja bukan dengan cara kanak-kanak, tetapi bermanja-manja yang sesuai dengan umur remaja saya ini. Sebab itu saya berasa sangat cemburu, ya, cemburu gila apabila melihat atau pun mendengar kisah daripada sahabat-sahabat dan orang lain yang sangat rapat dengan emak dan ayah mereka. Emak dan ayah ibarat kawan karib mereka. Malangnya, saya langsung tidak memperoleh peluang seperti itu! Saya hanyalah sekadar anak kepada emak dan ayah, bukan sebagai sahabat. Tidak tahulah kalau tekaan saya salah, tetapi itu yang saya rasa dan alami sekarang ini. Adakah adik-beradik saya pun menanggung kesengsaraan yang sama seperti saya? Entahlah, saya pun tidak pasti.

Emak dan ayah...

Seperkara lagi, mungkin salah saya kerana saya sering melakukan kerja-kerja rumah tanpa pengetahuan emak dan ayah. Memang sikap saya begitu; tidak suka melakukan sesuatu kerja sambil dilihat atau dipaksa orang. Kalau tiba-tiba suatu hari itu saya mungkin tersilap dengan menangguhkan dahulu atau terlupa untuk melakukan kewajipan di rumah, masa-masa macam itu jugalah emak dan ayah memarahi saya dengan mengatakan bahawa saya tidak melakukan apa-apa kerja apabila saya berada di rumah. Hanya tahu makan, minum, tidur, main komputer, keluar rumah, pergi masjid, tu je. Nak buat macam mana, kalau hendak diceritakan, takut. Kalau diceritakan pula, nanti kena pangkah semula. Jadi, lebih baik saya mendiamkan diri walaupun Tuhan tahu betapa terseksanya jiwa batin saya menahan perasaan ini, hmm. Saya cuma mahu emak dan ayah mempunyai kepercayaan dan bersikap supportive terhadap saya, bukan hanya condemn dan memandang rendah keupayaan saya. Kadang-kadang hendak keluar rumah pun saya akan selalu berasa serba salah dan berfikir seribu kali untuk memohon keizinan daripada emak dan ayah kerana kalian selalu tidak percaya akan saya atau mungkin terlalu risau akan keselamatan saya sehingga menyebabkan saya selalu berasa terkongkong apabila berada di rumah. Kalau tak minta izin, nanti jadi anak derhaka pula, hmm. Serba tak kena betul. Saya juga mahu kan kebebasan. Saya mahu meneroka dunia luar. Dunia saya bukan hanya di hadapan komputer. Sebab itu saya selalu berazam dan berdoa untuk cepat-cepat memperoleh kereta sendiri supaya saya tidak perlu menyusahkan emak dan ayah untuk meminjam kenderaan kalian. Ya Allah, tak tahulah nak kata apa lagi :'(

***

Ya Allah, maafkan saya kerana terpaksa menulis catatan ini. Sudah lama saya memendam perasaan ini. Tapi percayalah, saya bersyukur dilahirkan dalam keluarga ini kerana itu ialah ketentuan-Mu. Hakikatnya, saya sayang dan cinta akan emak dan ayah saya. Saya rindu akan emak dan ayah yang dahulu. Saya cuma mahukan keluarga ini dilimpahi roh dan sinar Islam seperti yang pernah saya rasakan dahulu. Saya takut kalau saya tidak sampaikan dakwah dan pengetahuan yang saya miliki ini kepada emak dan ayah, kalian akan mendakwa saya di akhirat nanti. Dalam surah 'Abasa ada cerita benda ini. Saya takut! Saya mahu ke syurga sambil memimpin tangan emak dan ayah. Walau macam mana pun emak dan ayah, emak dan ayah tetap emak dan ayah kandung yang sangat berjasa dan telah memelihara serta membesarkan saya dan adik-beradik sejak kecil hingga kini. Saya hanya mampu berharap dan memohon kepada-Mu ya Allah, berikanlah hidayah-Mu kepada kami agar keluarga Muslim yang kami impikan menjadi kenyataan. Kasihanilah emak dan ayah saya sebagaimana mereka mengasihani saya sewaktu kecil. Saya cuma berharap agar saya mampu menjadi anak yang terbaik dan mampu menonjolkan akhlak yang mulia kepada emak dan ayah agar saya tidak menjadi fitnah kepada agama disebabkan perbuatan saya yang mungkin mengguris hati emak dan ayah. Ya Allah, bantulah hamba-Mu yang lemah lagi hina ini, ameen T-T

Ikhlas,
Anakmu yang nakal,
Marjan.

Nota kaki:
Kan dah kata jangan baca. Kisah ini tiada kaitan pun dengan yang telah hidup atau yang sedang mati.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA