Ahad, 28 Jun 2015

#145 - ABANG JOE! AKHIRNYA RAMBUTKU GUGUR JUA


Pesanan buat anda yang tidak gemar memendekkan rambut anda yang panjang atau anda yang tidak boleh digunting rambutnya kerana botak, tiada rambut, atau ego, mohon jangan baca. Saya tidak bertanggungjawab atas setiap keguguran dan kegatalan rambut selepas anda membaca artikel ini.

Jam enam petang. Beberapa hari sebelum bulan Ramadan...

Saya memecut laju skuter 'Saya Yang Menunggang' (SYM) kesayangan saya yang dibawa dengan azam yang jitu. Semangat yang membara bagi menyambut kedatangan Ramadan Kareem dengan rambut yang baru. Eh, bukan rambut yang baru, tetapi dengan gaya rambut yang baru (baca: memendekkan rambut yang panjang)!

Maka, saya keluar dari rumah menuju ke deretan rumah kedai yang berada di kawasan perumahan saya, Saujana Utama. Siapa yang tidak kenal dengan nama Saujana Utama, kawasan perumahan yang sedang pesat membangun dan boleh dikatakan antara yang popular di Sungai Buloh, Selangor. Sebut saja keperluan asas yang diperlukan, semuanya ada di sini: sekolah, tadika, pasar raya, stesen minyak, bank, kedai makan, restoran, rumah kelab, dan banyak lagi. Masjid dan surau di sini juga meriah dengan majlis ilmu dan aktiviti kemasyarakatan. Saujana Utama juga menjadi tempat kediaman bagi beberapa tokoh masyarakat (public figure) yang terkenal di Malaysia, antaranya ialah Ustaz Amaluddin Mohd Napiah (Pengerusi MUNSYID), Ustaz Pahrol Mohd Juoi (penulis), Ustaz Zahiruddin Zabidi (penulis), dan Azli Senario (pelakon). Alhamdulillah, saya sangat beruntung dapat menetap di sini. Semoga suatu hari nanti akan muncul lagi salah seorang tokoh masyarakat yang juga dari Saujana Utama. Siapa lagi kalau bukan Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin. *angkat kening sambil tersenyum cool

Sudah lama sebenarnya saya tidak mendapatkan khidmat gunting rambut di sini. Maklumlah, sedari tingkatan satu hingga kini, saya jarang berada di rumah kerana menetap di asrama atau kolej. Maka, banyak juga helaian rambut saya yang gugur di bumi lain, bukan di sini. Jadi, saya tidak berapa tahu kedai gunting rambut mana yang terbaik yang harus saya pilih dalam misi menggugurkan helaian rambut mulus ini.

Pusing sana, pusing sini... Alhamdulillah, akhirnya Allah mengembalikan semula memori saya terhadap sebuah kedai gunting rambut yang pernah saya kunjungi bersama abang saya beberapa tahun yang lalu. Bezanya, pada waktu itu, abang saya yang menjadi pelanggan sementara saya sebagai peneman. Namun, pada hari tersebut, saya pula sebagai seorang pelanggan namun tanpa abang menjadi peneman. Fulamak, ayat...

Dari luar, saya dapat melihat seorang abang berbangsa Melayu sedang memberikan khidmat menggunting rambut salah seorang pelanggannya. Ya, abang itulah pemilik kedai gunting rambut tersebut. Saya melangkah masuk ke dalam kedai itu yang merupakan salah sebuah kedai daripada aneka kedai di SU Mall. Kelihatan seorang lagi pelanggan bersama anaknya sedang duduk menunggu giliran untuk diberikan khidmat. Saya lantas mendapatkan sebuah kerusi yang kosong dan terus mendaratkan punggung di situ. Mataku tertumpu ke arah televisyen di dalam kedai yang sedang memaparkan sebuah sinetron dari negara seberang. Entah apa tajuknya, saya tidak ingat. Teringat ketika saya masih berada di bangku sekolah, walaupun ada sebahagian sinetron yang 'tahapehape' jalan cerita dan kualitinya, namun entah macam mana saya pernah terlayan juga sinetron sebegini. Mengisi masa petang agaknya. Astaghfirullah al-azhim... >_<

Sementara menunggu giliran saya tiba, saya mencapai senaskhah Majalah Gen-Q yang berada di atas rak buku lalu membacanya bagi menghilangkan kebosanan. Dalam kekhusyukan membaca itu, sesekali pendengaran saya tertangkap ke arah perbualan antara si abang tukang gunting dengan pelanggannya. Mesra sekali bunyinya. Kadangkala terdengar juga abang itu menyebut beberapa nama parti politik yang ada di negara ini. Bagus abang ni, pandai melayan pelanggan, fikir saya. Namun begitu, saya tidak terlalu fokus dalam menangkap isi perbualan mereka kerana asyik melayan naskhah Gen-Q yang sedang berada di atas tangan. Kalau ada kawan di samping saya, tentu ayat mereka akan berbunyi lebih kurang begini, "Masya-Allah enta, anak soleh, baca Majalah Gen-Q. Bangga nahnu dapat kawan macam enta." Pui! Haha.

Dipendekkan cerita, setelah selesai dua orang pelanggan yang datang lebih awal daripada saya mendapatkan khidmat mereka, akhirnya tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Jam di dinding lebih kurang pukul 6.40 petang. Pada waktu itu, tinggal saya dan seorang lagi pelanggan lain yang berada di situ. Saya bingkas meletakkan bahan bacaan yang telah dibaca dan terus menuju ke 'medan pengguguran rambut'. Lantas, saya meminta abang tersebut untuk memendekkan rambut saya sehingga ke skala tiga. Abang itu tersenyum sinis. "Ish, betul ke ni, dik? Nak pendek sampai nombor tiga? Tak hensemlah dik. Bagi pendek cukup je la." Aiya, dah kenapa abang ni? Menggugah keyakinan sang Hamas Syuja'iy betul. Lalu, saya berubah fikiran dan meminta beliau cukup sekadar memendekkan rambut saya supaya nampak kemas dan rapi. Abang itu tergelak kecil. "Hehe, baru kena 'jentik' sikit dah goyang. Macam mana ni..." Dalam hati, ya Allah, malunya aku! Saya hanya tersengih-sengih macam kerang busuk, padahal saya belum pernah pun melihat kerang busuk tersengih macam mana. Eh, kerang reti senyum ke?

Lalu, abang tersebut menyarungkan kain penutup badan dan mula menjalankan tugasnya sebagai penggunting rambut dengan lancar. Ketika fasa pengguntingan rambut, boleh dikatakan tempoh tersebut antara salah satu fasa yang paling saya suka dan nikmati dalam hidup di samping fasa-fasa lain seperti fasa kena urut, fasa kaki kena geletek, fasa kuku tangan kena picit, fasa telinga kena korek dengan putik kapas (semasa kecil), dan banyak lagi yang tidak mampu saya sebutkan kesemuanya di sini. Jangan tanyalah kenapa, dah memang saya suka.

Ketika beliau sedang rancak menggunting helaian rambut saya, tiba-tiba datang seorang mamat Melayu ke kedai tersebut dan bertanya sama ada dia sempat mendapatkan perkhidmatan gunting rambut pada masa itu juga atau tidak. Abang tukang gunting rambut lantas menjawab, "saya (sebelum) Maghrib saya tutup kedai. Ni ada seorang lagi tengah tunggu turn. Awak datanglah lepas Maghrib. Dalam pukul lapan macam tu ke." Mamat yang datang tadi terus berkata "ok" dan berlalu pergi. "Hmm, time-time nak Maghrib la baru ramai orang datang. Dah selalu sangat jadi macam ni," abang tersebut memulakan bicara. "Sebelum Maghrib tak ada pulak nak datang. Benda ni dah jadi macam budaya dalam orang Melayu kita." Saya hanya mampu tersenyum hambar. Kemudian, saya teringat peristiwa yang hampir serupa yang berlaku ke atas seorang sahabat saya, Muhammad Rofiq yang pernah bekerja sebagai penjaga kaunter koperasi di salah sebuah kolej kediaman di Universiti Malaya (UM). Rofiq pernah menceritakan ketika dia ingin menutup koperasi kerana waktu Maghrib tinggal beberapa minit saja lagi, ketika itulah baru berpusu-pusu pelanggan datang. Terpaksalah Rofiq menangguhkan penutupan koperasi demi melayan pelanggan. Menguji keimanan betul, katanya.

"Benda ni dah jadi budaya orang Melayu. Mentaliti ni kena ubah. Saya dah berpuluh tahun hidup dan banyak bangsa dah saya berkawan. Dulu sekolah ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, macam-macam lagi. Dah kenal sangat bangsa lain macam mana," beliau menambah. "Sifat kita ni suka sangat bertangguh. Syaitan, iblis pun hasut kita macam tu la, suruh tangguhkan taubat! Sebab kita ingat kita banyak masa lagi." Wah, ini menarik! Saya mengiyakan cepat-cepat. Subhanallah, tersentap saya mendengarnya.

Perbualan diteruskan lagi dengan beberapa siri persoalan, jawapan, buah fikiran, dan pendapat.

"Dik belajar mana dik?"
"Oh, saya belajar UM. Saya baru je habis asasi dua tahun bulan empat yang lepas. Sekarang tengah cuti. Insya-Allah sambung degree bulan sembilan nanti."
"Oh, nanti degree ambik course apa?"
"Insya-Allah, ambik kos Pengajian Islam dan IT."
"Oh, baguslah adik."
"Alhamdulillah..."
"Nanti kalau nak cari kerja, carilah yang ada kaitan dengan bidang yang kita belajar nanti."
"Saya pun sebenarnya tak tau sangat nak kerja apa nanti. Saya kalau boleh biarlah kerja yang ada life, hehe."
"Hehe. Tapi, kalau ikut pendapat abang, dunia ni nak kiamat dah. Kita sebenarnya dah tak ada masa dah nak fikir atau dapatkan kerja yang semata-mata nak kumpul duit, cari harta banyak-banyak. Sekarang ni ialah masa untuk kita tambah ilmu agama. Abang pun kadang-kadang ada masa, duduk dengar kuliah kat masjid lepas solat. Tapi, nak kerja apa-apa pun boleh, tak kisah. Yang penting biar kerja kita bermanfaat."
"Ya, ada sumbangan untuk Islam."
"Baguslah adik..."
" :) "

Sebenarnya banyak lagi topik perbualan yang dibincangkan pada hari tersebut, tapi maaflah sebab saya sendiri pun tak berapa ingat setiap isi dan butir perbualan, huhu. Jadi, mungkin terdapat beberapa kesalahan yang tidak disengajakan. Sekali lagi saya ingin memohon maaf. Walau bagaimanapun, saya telah pelajari banyak hikmah dah hemah daripada abang tersebut walaupun beliau hanya bekerja sebagai seorang tukang gunting rambut. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada beliau atas layanan kelas A yang diberikan. Insya-Allah, saya akan menjadi salah seorang pelanggan tetap abang jika rambut saya sudah mulai panjang kembali, hoyeah!

Alhamdulillah, penampilan saya nampak lebih segak dan smart dengan rambut yang telah dipendekkan, huhu. Nak tengok gaya baru saya? Boleh klik di sini. Pasti anda akan terpesona, wew. Tetapi, setelah saya keluar dari kedainya, baru saya tersedar yang saya terlupa untuk bertanyakan namanya. Hendak masuk semula ke kedainya semata-mata untuk bertanyakan nama, terasa segan pula. Hilang cool saya. Namun, melalui pemerhatian saya ke arah kain rentang yang digantung di hadapan atas kedai, saya dapat mengagak bahawa panggilan untuk abang tersebut ialah abang Joe. Insya-Allah, jumpa lagi, abang Joe!

Saya menunggang pulang skuter tercinta dengan hati yang gembira, segembira orang mukmin yang merindui kedatangan Ramadan. Ya, itulah hakikat kehidupan. Kita sebenarnya boleh belajar dan mengutip mutiara daripada setiap orang yang kita temui. Tidak kira sama ada dia itu tukang sapu sampah, tukang cuci tandas, tukang baiki kasut, pengemis jalanan, dan lain-lain profesion, pandanglah setiap orang itu dengan pandangan yang mulia kerana kita tidak tahu, mungkin mereka yang kita anggap sebagai lekeh atau biasa-biasa itu lebih tinggi ketakwaannya berbanding diri kita yang selalu perasan diri lebih hebat dan lebih bertakwa. Seolah-olah kita sudah pasti kita ahli syurga. Ohoi!

Oh, ya! Bercakap soal takwa, Insya-Allah, saya mendoakan semoga kita sama-sama berhasil memperoleh takwa melalui ibadah puasa yang sedang kita jalani ini, amin. Ramadan Kareem! ^_^

Rambut anda penuh dengan kelemumur? Gunalah syampu.

Khamis, 25 Jun 2015

#144 - DOAKU KETIKA DI PASUM


Segala puji bagi Allah. Sudah seminggu nampaknya saya melalui bulan Ramadan pada tahun ini. Tinggal tiga minggu lagi berbaki dalam misi memburu takwa dan mencapai reda-Nya. Dalam penulisan saya sebelum ini, ada saya nyatakan bahawa saya akan totally menyambut bulan Ramadan di rumah kerana sedang bercuti. Jadi, seperti kebiasaan, sekitar waktu Duha saya akan log masuk ke dalam laman sosial Facebook melalui komputer riba pembelian ayah bagi mendapatkan informasi atau berita terkini daripada keluarga, guru, sahabat, mahupun seluruh dunia di alam maya. Ucap selamat hari lahir, skrol suapan berita, like, like, dan like. Kalau diri terasa rajin mahu komen, saya akan komen. Otherwise, saya hanya akan menjadi pemerhati bisu, pembaca setia, dan tukang suka (liker), heh. Seolah-olah segala aktiviti tersebut sudah menjadi rutin harian. Hmm, budak zaman sekarang...

Selesai menjalani semua proses di atas, barulah saya mula menekan simbol 'bumi' yang berada di sudut kanan atas Facebook. Ya, butang notifikasi atau dalam bahasa bakunya, pemberitahuan. Selalunya, butang atau ikon itulah yang paling akhir yang akan saya klik daripada ikon-ikon lain seperti permintaan menjadi rakan dan peti mesej. Jangan tanyalah sebab apa. Dah perangai saya macam itu. Ok, dalam sekian banyak notifikasi Facebook yang ada pula, saya gemar untuk melihat aplikasi 'On This Day' terlebih dahulu. Menariknya, aplikasi ini membolehkan saya melihat kembali setiap pos lama yang telah saya poskan ke dalam Facebook bagi tahun-tahun sudah pada tarikh tersebut. Misalnya, jika tarikh hari ini ialah 25 Jun 2015, maka kita dapat melihat setiap pos - status, gambar, video, dan lain-lain - yang telah kita pos pada tarikh 25 Jun itu bagi tahun-tahun sebelumnya sejak hari pertama kita bertapak di Facebook. Lebih kurang macam arkib sejarah gitu, huhu.

Jadi, saya mula menekan notifikasi 'On This Day' untuk hari ini. Berikut ialah status yang telah saya kemas kini pada setahun yang lalu, 25 Jun 2014. Zaman ketika saya berada dalam tahun kedua Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS) di Universiti Malaya.

sakit mata? klik pada gambar.

Saya terpana seketika. Allahu akbar. Tidak kusangka, tidak kuduga, ini doa yang pernah saya nukilkan dahulu. Pabila saya terbaca semula doa ini, teringat kenangan dahulu sewaktu saya berasa agak tertekan dengan kehidupan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Kehidupan yang serba akademik dan seolah-olah tiada life orang kata. Bangun pagi, pergi kuliah, balik, buat tutorial, tidur. Esoknya pun begitu. Allah, dah jadi macam robot rasa! Lalu, saya cuba pujuk hati ini agar kuat dan tabah dengan segala dugaan dan kesukaran yang mendatang. Mana ada benda senang di dunia ini, bukan? Yang penting tabah. Ya, tabah!

Allah dah hantar saya ke sini. Allah dah takdirkan saya untuk berada di sini. Masakan Dia hendak membiarkan saya di sini secara sia-sia? Dia tidak akan pernah meninggalkan saya. Tidak sekali-kali.

Alhamdulillah, kini saya telah menamatkan dua tahun zaman asasi dengan jayanya (*tepuk tangan). Insya-Allah, jika ada rezeki, nafas masih panjang, saya akan menyambung pengajian sarjana muda dalam bidang Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat, juga di Universiti Malaya. Moga-moga apabila ada ketika saya berasa lemah dan lelah, saya akan cuba hayati semula doa ini. Semoga Allah sentiasa memandu niat saya agar sentiasa menuntut ilmu kerana-Nya dan demi ummah yang tercinta. Amin.

Buat adik-adik APIdS Gen-13 dan adik-adik PASUM '97 yang mungkin sedang membaca pos ini, doa saya untuk kalian moga-moga kalian sentiasa kuat, dipermudahkan segala urusan, dan sentiasa diluruskan niat dalam musafir ilmu ini. Amin sekali lagi.

Salam Ramadan 1436H ^_^

Khamis, 18 Jun 2015

#143 - PERUTUSAN KHAS RAMADAN 1436H


PERUTUSAN KHAS RAMADAN 1436 (Halamak tajuk)

Lebih tujuh tahun sudah berlalu.

Alhamdulillah, Ramadan 2015 menyaksikan saya kembali menjalani ibadat puasa sebulan penuh bersama ibu bapa dan keluarga tercinta di rumah kediaman. Well, pelajar asasi sains UM sesi 14/15 sedang bercuti sakanlah sekarang ini sementara menunggu kemasukan ke alam sarjana muda bermula bulan September nanti, Insya-Allah. Semestinya, peluang sebegini sangat jarang untuk dinikmati dan dikecapi, apatah lagi dengan usia saya yang makin meningkat seiring dengan peredaran masa dan zaman. Seingat saya, kali terakhir saya menjalani ibadat puasa sebulan penuh di rumah kediaman adalah ketika saya berada dalam darjah enam. Antara tahun 2008 hingga 2014, saya banyak melalui fasa Ramadan di sekolah, asrama, atau kolej sahaja.

Jika pada tahun lalu, sahabat-sahabat seasasi saya di Nilam Puri (kini dalam tahun pertama pengajian sarjana muda) yang bercuti asasi mengambil inisiatif untuk menghidupkan Ramadan dengan program Ihya' Ramadan atas talian (online), kami juga mahu mengambil inisiatif serupa. Jika dahulu mereka meletakkan jenama "#RaRe" (Ramadan: Reviving Imaan) sebagai identiti program Ihya' mereka (yang juga diguna pakai oleh adik-adik PASUM 15/16), kami pula berbesar hati bagi mengumumkan tema program Ihya' Online kami. Terimalah, "StORM" (Strive to Optimise Ramadan Month)!

*kilat sabung-menyabung, guruh berdentum
*tepukan gemuruh

Nota: Mohon sahabat-sahabat sarjana muda yang sedang bergembira menduduki peperiksaan akhir semester cemburu melihat kemanisan percutian puasa kami >:)

Jadi, pesan saya kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat asasi daripada APIdS dan PASUM, garaplah peluang yang hadir sekali seumur hidup ini sebaik mungkin. Hayati dan jalani kehidupan Ramadan kita dengan penuh kesyukuran dan rasa kehambaan. Mari bersama-sama kita hidupkan malam dan siang Ramadan dengan amal dan kewajipan. Moga-moga matlamat takwa melalui pensyariatan ibadat puasa terlunas dan tercapai hendaknya.

Kerana Ramadan yang datang itu mungkin tidak akan kembali lagi...

Jadi, ayuh! Let's strive to optimise Ramadan month!

*guruh berdentum tum tum

---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
CEO,

#StORM
#Ramadan
#RamadanAdvice

Selasa, 2 Jun 2015

#142 - ADINDAKU SUDAH DI ALAM KAMPUS!


Rumahku terasa sepi sekali lagi.

Pada saat adik-adikku yang masih bersekolah sedang bergembira menghabiskan masa dua minggu cuti persekolahan dengan aktiviti membuang masa (keh keh), adik perempuanku yang sulung, Anis Syakirah​ pula mula mendaftarkan diri sebagai salah seorang pelajar diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak Kampus Seri Iskandar​ pada hari ini. Maka, kesunyianlah adik perempuanku yang seorang lagi tidak berteman kerana kakaknya sudah berangkat pergi menempuh alam kampus yang menyimpan 1001 warna, khazanah, dan pengalaman, huhu. Hal ini secara tidak langsung menjadi rekod adik-beradik #ZHADAMI wanita pertama yang menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi. Yalah, dah nama pun kakak, mestilah masuk dahulu sebelum adik kan...

Di sebalik kesyukuran yang terzahir atas keberhasilan adikku mendapat tempat di universiti, terselit juga rasa hiba memandangkan seorang demi seorang daripada kalangan kami sudah mulai membesar dan menginjak ke alam belia dan dewasa. Masakan tidak? Perkembangan fizikal seiring dengan peningkatan umur juga menjadi indikator bahawa selepas ini, semakin sukarlah untuk kami adik-beradik berkumpul dan melakukan aktiviti bersama di rumah dalam satu-satu masa. Masing-masing pergi membawa hala tuju dan mencapai cita-cita. Belum dikira lagi jika ada dalam kalangan kami yang akan melangsungkan perkahwinan selepas ini. Mungkin - atau lebih tepat - pasti akan ada dalam kalangan kami yang berhijrah ke tempat lain atas pelbagai faktor - pekerjaan, mengikut keluarga mertua, dan sebab-sebab lain.

Lantas, perkara ini membuatkan memori aku kembali terngiang akan kisah silamku. Zaman di mana aku masih comel dan mentah. Tidak pernah kisah dan peduli pun akan kebimbangan hidup di atas dunia yang gila ini. Ya, begitulah dunia kanak-kanak. Namun begitu, apa yang lebih penting ialah kesemua ahli adik-beradik #ZHADAMI berada di sisi. Semuanya ada.

Melakukan kerja-kerja rumah bersama-sama,
Menyepah dan menyelerakkan rumah bersama-sama,
Bermain permainan indoor dan outdoor bersama-sama,
Berimaginasi dalam permainan komputer bersama-sama,
Menonton filem dan kartun bersama-sama,
Bergaduh dan berkelahi bersama-sama,
Rakam video, gelak kuat-kuat, lepas tu delete dan rakam semula bersama-sama...
Apa lagi ya?

Makan bersama,
Mandi bersama,
Tidur bersama...

Dan pelbagai lagi aktiviti 'bersama-sama' tapi bukan pada musim summer yang kita lakukan,
Bersama-sama...

Kini, zaman kanak-kanak aku sudah berlalu. Kanak-kanak yang tinggal dalam adik-beradik #ZHADAMI (pada saat artikel ini ditulis) cumalah adik lelaki bongsu saya sahaja. Yang lain semuanya sudah menginjak alam belia dan dewasa.

*dush* tepuk kelapa, eh kepala.

Yo bro, cukup-cukuplah throwback mengenangkan kisah lampau. Tak salah pun nak imbas kembali masa lalu, tapi jangan jadikan perkara tersebut sebagai asbab untuk aku terus leka akan tanggungjawab aku yang lebih berat dalam masa yang mendatang ni. Ingat balik, aku diciptakan di atas dunia ini untuk tujuan apa. Banyak lagi masalah ummah dan ad-deen yang perlu aku sama-sama bantu dan sama-sama perjuangkan demi meraih reda-Nya.

Hmm, betul tu. Hidup perlu diteruskan. Ya, masing-masing sudah besar. Hal ini juga bermakna tanggungjawab kita juga semakin besar, #ZHADAMI. Tapi, ingat tak sewaktu kita kecil dahulu, kita mampu melakukan semua perkara seperti di atas bersama-sama? Jadi, tak mustahillah kalau kita mampu menggalas tanggungjawab kita yang sebenar di atas dunia ini secara bersama-sama juga, kan? Malah, kehidupan kita ini pun sebenarnya sebuah madrasah, sekolah, atau universiti kehidupan. Kita tidak akan bergraduasi dari sistem pendidikan - atau lebih tepat - sistem tarbiah ini selagi roh belum terpisah dari jasad. Kita boleh belajar semua perkara dan menilai sudut pandang kehidupan ini dengan cara kita yang tersendiri. Walau jasad kita mungkin akan terpisah selepas ini, namun hati kita masih bisa terpaut utuh dengan izin-Nya. Betul tak adik-adik, abang-abang, dan kakak-kakak sekalian?

Doaku padamu wahai adik-beradikku sekalian, moga kita terus kuat dalam meniti arus dan liku kehidupan yang penuh pancaroba ini. Pegang erat-erat tangan kita, jangan sesekali dilepaskan! Ingin sekali aku mahu kita terus bersama-sama sehingga tiba di pintu jannah-Nya. Kalau dahulu kita bersama-sama di alam fantasi, namun kini ayuh kita bersama-sama menuju alam realiti.


"Ya, Allah! Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatkan dan menyokong syariat-Mu. Maka, eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini akan jalannya yang sebenar. Penuhkanlah piala hati ini dengan cahaya rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan, dan keindahan tawakal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat tentang-Mu. Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong..."

Kepada adindaku Anis Syakirah, selamat menuju ke gerbang universiti kehidupan! Semoga penulisan ini memberi inspirasi untuk menjadi seorang anak yang lebih solehah dan aset ummah yang bermanfaat, amin...

Nukilan abangmu,
Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin

---

Nota kaki: #ZHADAMI di atas merujuk kepada abjad awal bagi nama-nama adik-beradikku bermula daripada bongsu kepada sulung. Oh ya, saya anak kedua. ^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA