Isnin, 21 Disember 2015

#148 - MATANG


Kadang-kadang... Eh, bukan kadang-kadang! Selalu jugalah.

Seringkali... Ya, seringkali! Emm, seringkali, apabila saya meneroka dan membelek semula status-status  dan pos-pos lama yang pernah dinukilkan dahulu di laman media sosial, seringkali saya berasa malu terhadap ketidakmatangan diri sendiri, bahkan seringkali juga saya bermonolog sendiri antara percaya dan tidak, "eh, betul ke aku pernah tulis benda alah ni dulu?".

Masakan tidak, betapa ada antara butir ayat, bahasa, pegangan, pendapat, dan pemikiran yang pernah dilontarkan serta dipersembahkan dahulu, saya sifatkan sebagai agak emosional dan kurang rasional. Biasalah kan. Orang kata darah orang-orang muda ini lain macam sikit. Mudah menggelegak. Setiap masa, ingin saja meledak.

Tetapi, sejak belakangan ini, apabila saya mula banyak didedahkan dengan kepentingan adab dan peribadi dalam menuntut ilmu serta perlu bijak dalam menilai dan menentukan prioriti hidup, barulah saya sedar bahawa saya sebenarnya banyak tersilap kerana dahulu, saya terlalu ghairah dalam mencari sesuatu yang baru, sesuatu yang orang kata "wow", semua perkara hendak diterokai dan diceburi (semangat inkuiri kononnya), sehingga melupakan soal adab dan keutamaan dalam kehidupan.

Lantas, setiap idea yang dirasakan benar pada ketika itu terus saja dicoretkan pada dinding media sosial dengan kurang penekanan terhadap penggunaan ayat dan susunan bahasa yang sesuai. Tanpa disedari, perbuatan tersebut hakikatnya hanya menunjukkan kedangkalan serta ketidakmatangan diri sendiri. Mungkin juga, perasaan pengguna-pengguna media sosial yang lain ada yang terguris dan terhiris.

Walau bagaimanapun, saya menganggap peristiwa yang telah berlalu itu sebagai pengajaran kepada diri sendiri bahawa akhlak dan keperibadian kita tetap perlu diutamakan dan menjadi kepentingan. Kalau tidak, masakan para ulama kita sangat teliti dalam bab menjaga akhlak dan adab, baik dari segi tatacara, percakapan, mahupun penulisan? Hatta, junjungan Nabi Muhammad SAW sendiri diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. Mungkin pada masa akan datang, artikel kali ini pula dianggap kurang matang sebagai akibat pertambahan usia dan peningkatan tahap kematangan (eh?).

Ya, saya masih dalam proses pembelajaran dan pembinaan sahsiah diri. Setiap hari ialah hari menuntut ilmu dan menimba pengalaman yang baru. Kalau saya tersilap, mohon tegurlah saya secara terus dan terhormat. Maafkan saya atas segala keterlanjuran yang pernah dilakukan. Kerana pada akhirnya, saya juga seorang insan biasa seperti kalian. Bukankah begitu? :)


*Halamak, saya dah jadi seorang lelaki sejati, pfft!

#147 - IBRAH 'MONOPOLY'



Siapa ingat lagi? Dahulu, semasa kita masih bertaraf mumaiyiz, pernah bukan kita bermain permainan seperti Saidina, Jutaria, Monopoly, atau yang sewaktu dengannya. Betul tak?

Persamaan antara kesemua jenis permainan tersebut ialah kita perlu memiliki sebanyak mungkin pemilikan hartanah, rumah, hotel, dan sebagainya melalui jumlah modal yang serupa pada permulaan permainan bagi setiap orang pemain. Hal ini amat penting bagi memastikan kita benar-benar memiliki sumber kewangan yang sangat kukuh. Akhirnya, kita layak dinobatkan sebagai pemenang pada akhir permainan jika kita berjaya menjadi jutawan yang paling banyak memiliki serta memonopoli harta.

Tetapi, apa yang berlaku setelah tamat permainan? Barang permainan mula dikemas semula. Rumah-rumah dan hotel-hotel serta kepingan-kepingan wang disusun kembali ke kotak asalnya. Ya, setiap harta benda dan wang yang kita miliki tadi sebenarnya tiada apa-apa nilai pun. Itu semua cuma... Permainan. Ironinya, sewaktu kita bermain permainan tersebut, kita berasa sangat bangga dengan pemilikan harta dan wang tunai yang begitu banyak. Padahal, semua itu cuma fantasi dan hanya khayalan semata-mata.

Hakikatnya, kita hidup di dunia pun seperti itu juga. Kita bersusah payah mengumpulkan segala jenis harta benda dan wang ringgit, namun selepas kita mati, tiada apa pun yang tinggal pada diri kita. Ironinya, kita masih lagi sanggup mengejar segala bentuk harta benda keduniaan yang pada akhirnya, kita akan tetap meninggalkan juga harta benda itu.

Hmm, apa yang kita nak sebenarnya daripada dunia yang fana ini?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA